03 January 2009

Ibu bapa bantah caj tambahan bas sekolah

JOHOR BAHRU 2 Jan. - Golongan ibu bapa membantah keras cadangan Persekutuan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPBSSM) untuk mengenakan caj tambahan sebanyak 30 peratus dalam tempoh terdekat tahun ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati, majoriti orang ramai memberikan reaksi negatif terhadap cadangan itu yang disifatkan sebagai amat membebankan, melampau dan terlalu tinggi.

Selain berasa tidak puas hati jika cadangan itu dilaksanakan, mereka menganggap kadar baru tersebut tidak munasabah dengan keadaan semasa, lebih-lebih lagi harga minyak telah diturunkan kerajaan.

Seorang pekerja swasta, Ithnin Sadini, 44, berkata, caj tambahan tersebut terlalu tinggi untuk ditampung bagi mereka yang bergaji rendah dan mempunyai keluarga besar.

Tambahnya, walaupun para pengusaha bas sedang berhadapan kenaikan harga barang namun mereka tidak seharusnya menjadikan ia sebagai alasan untuk mengenakan caj tambahan yang begitu tinggi.

"Bebanan ini tidak harus diletakkan kepada orang ramai sebaliknya para pengusaha bas harus memikirkan kaedah lain untuk menampung kenaikan kos itu," katanya.

Baru-baru ini, Presiden PPBSSM, Chee Ah Tey mengumumkan pihaknya bercadang mengenakan caj tambahan sebanyak 30 peratus untuk perkhidmatan bas sekolah di seluruh Semenanjung Malaysia sebagai langkah untuk menampung kenaikan kos penyelenggaraan mereka.

Ah Tey berkata, surcaj itu juga terpaksa dikenakan kerana permintaan mereka untuk menurunkan harga subsidi diesel daripada RM1.43 seliter kepada RM1 seliter tidak dilayan.

Seorang kontraktor, Mohd. Yazid Yon Arrazif, 30, berkata, cadangan mengenakan caj tambahan 30 peratus adalah terlalu tinggi untuk para pengguna kerana lingkungan jarak antara rumah dan sekolah adalah dekat.

Katanya, kadar 30 peratus tidak sesuai untuk tempoh jangka masa panjang kerana ia terlalu drastik untuk para pengguna.

"Mereka masih boleh mengenakan caj tambahan untuk para pengguna tetapi tidak boleh sampai 30 peratus kerana ia boleh menjejaskan semua pihak," katanya.

Turut berkongsi pendapat itu ialah seorang kakitangan bank, Naemah Medali, 42, yang berkata, caj tambahan sebanyak 30 peratus itu bakal memberi impak buruk kepada golongan berpendapatan rendah kerana terpaksa berbelanja besar setiap bulan untuk tujuan tersebut.

"Ia sudah tentu memberi kesan buruk, maka saya berharap pihak berkuasa akan memandang serius terhadap perkara ini," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment