KUALA LUMPUR 3 Jan. — Semua jalan di negara ini akan diberikan penarafan keselamatan setelah penilaian dilakukan oleh Program Penilaian Jalan Antarabangsa (iRAP) siap.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata penilaian itu dimulakan Oktober lepas dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan (JKJR) Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Jabatan Kerja Raja (JKR) yang pada permulaan meliputi jalan sejauh 3,800 kilometer.
Penilaian itu dijangka meliputi keseluruhan rangkaian jalan itu di negara ini, katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen jalan raya di sini hari ini.
“Bukan hanya hotel ada penarafan empat atau lima bintang. Kini jalan kita akan juga diberi penarafan berdasarkan aspek keselamatan dan kejuruteraan,” kata beliau.
Penilaian yang sedang dijalankan iRAP bertujuan mengurangkan lebih banyak kes kemalangan jalan raya melibatkan kematian dengan memperbaiki keselamatan infrastruktur jalan, katanya.
Cadangan daripada iRAP, menurutnya jika dilaksanakan dijangka mengurangkan kes kemalangan jalan raya melibatkan kematian sehingga 30 peratus yang disebabkan aspek reka bentuk jalan dan kejuruteraan jalan di Malaysia.
- Bernama
No comments:
Post a Comment