Mangsa, Mok Song Eng, berkata dalam kejadian jam 10.25 malam, dia baru pulang ke rumah selepas mengambil anak lelakinya Kwa Ling Siong, 15, yang selesai menghadiri kelas tambahan.
Menurutnya, sebaik sampai ke perkarangan rumahnya, mereka dihampiri sebuah kereta dinaiki empat lelaki mencurigakan.
“Empat lelaki di dalam kereta berkenaan meluru keluar dari kenderaan sebelum terus menghayunkan parang ke arah saya.
“Mereka langsung tidak memberi amaran, sebaliknya terus menyerang saya bertalu-talu tanpa menghiraukan jeritan saya ketika itu,” katanya.
Menurutnya, dia yang ketika itu tergamam hanya mampu menggunakan kedua-dua tangannya sebagai perisai untuk menahan tetakan parang.“Akibatnya kedua-dua tangan saya berlumuran darah sebelum penjenayah merampas beg tangan saya. Tidak cukup dengan itu, penjenayah mencederakan kepala anak lelaki saya menggunakan alat pemutar skru sehingga terpaksa menerima lima jahitan,” katanya.
Menurutnya, sebelum melarikan diri menaiki kereta Proton Wira, penjenayah turut sempat merampas beg sekolah anaknya.
“Serangan terbabit menyebabkan saya dan anak segera dikejarkan oleh jiran ke Hospital Selayang untuk menjalani rawatan,” katanya.
Mok berkata, kecederaannya serius berikutan tetakan mengenai tulang tangan kiri. Ibu jari dan pergelangan tangan kanannya turut cedera ditetak.
“Akibatnya kedua-dua tangan saya gagal berfungsi seperti biasa dan mengambil masa kira-kira setahun untuk pulih,” katanya.
Kejadian itu menyebabkan mangsa kehilangan wang tunai kira-kira RM3,000. Duit itu adalah bonus syarikat yang diserahkan oleh sepupunya sebelum kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata pihaknya melakukan operasi cegah jenayah setiap hari di sekitar daerah itu untuk membanteras kumpulan samun, ragut dan curi motosikal.
Menurutnya, dalam operasi terbaru antara jam 10 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam, tiga suspek berusia 20-an yang disyaki terbabit dengan jenayah samun berjaya ditangkap.
Bagaimanapun, polis masih menyiasat sama ada suspek berkenaan terbabit dengan kes menyerang suri rumah dan anaknya. - Metro
No comments:
Post a Comment