Penjenayah yang tampil menyamar sebagai pemandu teksi budiman dan berpakaian kemas akan menggunakan taktik membawa penumpang ke lokasi sunyi sebelum mengugut mangsa dengan parang bagi menyerahkan semua barang bernilai dan wang dimiliki.
Difahamkan, penjenayah terbabit yang berkeliaran sekitar ibu kota untuk mencari mangsa gemar menggunakan beberapa teksi berlainan nombor pendaftaran yang dilarikan daripada pemilik asalnya untuk melakukan jenayah.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, berkata pihaknya menerima beberapa laporan berhubung kes penumpang teksi yang dirompak dan percaya ia dilakukan oleh penjenayah ‘musang berbulu ayam’.
Menurutnya, dalam kes terbaru yang diterima sebelum ini, seorang gadis berusia 20-an dirompak pemandu teksi yang ditahan sekitar ibu kota, awal minggu lalu.
“Ketika itu ada seorang lagi penumpang lelaki di dalam teksi, namun pemandu teksi berkenaan tetap berhenti untuk mengambil mangsa di bahu jalan. Sebaik ada di dalam teksi, ‘pemandu teksi’ dan seorang lagi penumpang berkenaan menghunus senjata lalu merompak mangsa.
“Saya menasihati orang ramai supaya berhati-hati ketika memilih teksi dan tidak menaiki teksi yang ada penumpang lelaki di dalamnya,” katanya.
Menurutnya, polis menjalankan operasi bagi mengesan penjenayah berkenaan yang dipercayai lelaki warga tempatan.
Dalam kejadian Selasa lalu, seorang lelaki kerugian hampir RM1,000 selepas disamun pemandu teksi dinaikinya ketika dalam perjalanan pulang dari sebuah bank ke tempat kerjanya di sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari, mangsa yang dikenali sebagai Ajis, 30-an, pergi ke sebuah bank di ibu kota untuk mengambil wang bagi melunaskan hutang kepada saudaranya.
Selepas mengeluarkan wang, dia menaiki sebuah teksi sebelum pemandu terbabit menyamunnya dengan pisau sebaik mangsa tiba di tempat kerjanya.
Suspek yang menggunakan teksi dengan nombor pendaftaran palsu kemudian melarikan diri sebelum mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis daerah Dang Wangi.
Sementara itu, dalam kejadian terbaru jam 8.29 malam kelmarin, empat suspek berusia 30-an merompak dan melarikan sebuah teksi model Proton Wira berwarna merah putih dengan nombor pendaftaran HB 5064.
Dalam kejadian itu, suspek yang bersenjatakan objek tajam turut menyamun wang milik pemandu teksi berkenaan berhampiran Taman Sri Sinar, di sini.
Dalam kejadian 29 Disember lalu, seorang pemandu teksi berusia 40-an turut menjadi mangsa apabila dua lelaki bersenjatakan parang berpura-pura menaiki teksi sebelum merompaknya.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, dua lelaki warga tempatan itu turut melarikan teksi model Iswara berwarna merah putih dengan nombor pendaftaran HWB 4430 berhampiran Jalan Lengkok Abdullah, Bangsar, di sini. - Metro
No comments:
Post a Comment