KUALA TERENGGANU: Bekas calon bebas Parlimen Kuala Terengganu yang mencuri tumpuan pada pilihan raya umum lalu, Maimun Yusof, 89, semalam mengesahkan tidak akan bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari ini.
Maimun atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mun berkata, dia terpaksa melupakan niat bertanding dalam pilihan raya kecil itu apabila tidak menerima sebarang wang untuk digunakan sebagai deposit bagi melayakkannya bertanding dalam pilihan raya kecil itu.
“Dok payoh (Tak payah) jumpa lagilah, tok tak mboh (tak nak) tanding doh.
Takdok pitih (takde duit)...dok buleh buat apa doh (tak boleh buat apa dah)...Nok kumpul duit pun dah dok sempat (nak kumpul duit pun tak sempat),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Gong Gemia di sini.
Tok Mun berkata, walaupun sebelum ini satu laman blog diwujudkan bagi mengutip dana untuk digunakan sebagai wang deposit dalam pilihan raya kecil itu, namun dia mendakwa semua wang itu dilesapkan pihak tidak bertanggungjawab.
Warga emas itu mendakwa seorang penyokong yang turut membantunya dalam pilihan raya umum lalu sudah memberitahunya laman blog itu sudah berjaya mengutip kira-kira RM160,000.
Bagaimanapun, katanya, sehingga hari ini dia tidak menerima sesen pun wang daripada laman blog yang menggunakan namanya itu dan tidak pasti pihak yang terbabit melesapkan wang itu.
Untuk mengelakkan namanya terus dipergunakan, Tok Mun membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada 18 Disember lalu berhubung kejadian itu.
“Tok dah minta polis sekat laman blog itu, duit pun bukan dapat ke Tok. Tak payoh bagi ke situ (blog) lagi,” katanya.
Tok Mun turut melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat meneruskan hasratnya bertanding dalam pilihan raya kecil kali ini dan kesal ada individu tertentu cuba mengaut keuntungan mudah menggunakan namanya untuk mengutip wang.
Ditanya sama ada dia masih berminat bertanding jika ada pihak mendermakan wang kepadanya dalam tempoh sebelum penamaan calon nanti, Tok Mun berkata: “Tak sempat dah...dah tak boleh buat apa-apa. Masa dah singkat sangat.”
“Lagipun, selagi tak dok pitih dalam tangan tak boleh cakap. Dah ada baru boleh cakap. Insya-Allah kalau Tok dipanjangkan umur, Tok akan tanding dalam pilihan raya umum depan pula,” katanya.
Pada pilihan raya umum lalu, Maimun memperoleh 685 undi manakala bekas Timbalan Menteri Pelajaran Allahyarham Datuk Razali Ismail yang mewakili Barisan Nasional (32,562 undi) dan calon Pas, Mohamad Sabu (31,934 undi). - Bernama
No comments:
Post a Comment