31 December 2008

Sufiah elak jumpa ibu

KUALA LUMPUR: “Seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiran Sufiah hingga begitu sukar untuk berjumpa semula dengan keluarganya,” kata Pengarah Perancangan dan Strategi Kumpulan Penyokong dan Pengasuh Profesional Islam (Pisang), Hanafi Abdul Malek ketika mengulas mengenai wanita genius matematik, Sufiah Yusof, 23, yang kini aktif melakukan kerja amal di London.

Hanafi berkata, beliau masih berhubung dengan Sufiah melalui e-mel dan sering menasihati wanita pintar itu untuk berjumpa semula dengan keluarga terutama ibunya, Halimaton Yusof, selepas bertahun-tahun tidak bersua muka.

“Bagaimanapun Sufiah sering memberi alasan belum bersedia bertemu keluarganya setiap kali saya bangkitkan hal itu seolah-olah ada sesuatu peristiwa besar berlaku antara mereka sebelum ini.

“Saya tidak ingin mendesak tetapi menghormati keputusannya itu. Keinginannya untuk berubah pun sudah dikira sangat baik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Muka depan Harian Metro 2 Disember lalu melaporkan mengenai wanita genius matematik yang juga bekas pelajar Universiti Oxford, Sufiah Yusof, 23, menyesal dengan tindakannya terbabit pelacuran.

Perkara itu didedahkan Hanafi yang dihubungi Harian Metro pada hari sebelumnya.

Untuk mengesahkan perkara itu, Hanafi berkata, pihaknya menghubungi pengurusan yang pernah menjadi ejen wanita itu menjual tubuh yang turut mengakui dia tidak lagi terbabit dengan kegiatan itu.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata, beliau bersyukur kerana Sufiah sanggup memberi kerjasama dan mendengar nasihat anggota kerja Pisang hingga berubah serta meninggalkan terus kegiatan pelacuran yang diceburinya sebelum ini.

“Bukan mudah untuk Sufiah mendengar nasihat sesiapa, malah rakan baiknya sendiri jenuh menegurnya. Tapi, dengan kuasa Allah, wanita itu sanggup percayakan kami (Pisang) yang baru dikenali,” katanya. - HMetro

No comments:

Post a Comment