27 December 2008

SPRM kuat kuasa 1 Januari

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang penubuhannya diluluskan baru-baru ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2009, sekali gus menamatkan fungsi Badan Pencegah Rasuah (BPR) sejak 41 tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed, berkata persiapan akhir untuk menempuh era baru itu sedang dilaksanakan terutama dari segi struktur pentadbiran yang akan berubah.

"Berdasarkan Akta SPRM 2008, secara automatik Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan akan dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya, yang bertanggungjawab mengendalikan perjalanan suruhanjaya itu mengikut peruntukan dalam akta baru itu," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Rang Undang-Undang SPRM 2008 diluluskan selepas dua hari dibahaskan di Parlimen bertujuan untuk mencapai tahap integriti yang diidamkan selari dengan pembangunan negara menjelang 2020.

SPRM yang bakal menggantikan BPR itu mempunyai struktur pentadbiran dan bidang pelaksanaan yang menyeluruh serta mampu memberi impak besar dalam usaha membasmi rasuah dan penyelewengan.

Suruhanjaya itu juga akan mempunyai lebih 5,000 kakitangan, yang diberikan latihan dalam aspek pembanterasan dan pencegahan rasuah untuk memenuhi matlamat kerajaan menghapuskan gejala itu.

Abu Kassim yang akan menjadi Timbalan Ketua Pesuruhjaya berkata, mulai 2 Januari ini, operasi SPRM akan dijalankan di semua pejabat BPR seluruh negara dengan ibu pejabat suruhanjaya itu kekal di bangunan sekarang di Putrajaya.

"Pengumuman secara lebih terperinci berhubung operasi SPRM mulai tahun depan akan dilakukan pada 30 Disember ini," katanya.

Sementara itu, Ahmad Said ketika dihubungi, berkata walaupun pelantikannya selaras peruntukan undang-undang menerusi akta yang diluluskan itu, beliau akan melaksanakan tugas dan amanah yang diberikan untuk merealisasikan matlamat kerajaan.

"Kejayaan kerajaan menubuhkan suruhanjaya ini adalah langkah awal untuk menghapuskan rasuah dan penyelewengan sama ada di sektor awam atau swasta," katanya ketika dihubungi di Dubai, semalam.

Ahmad Said berkata, kontraknya sebagai Ketua Pengarah BPR akan tamat pada Mei depan, bermakna secara rasmi tanggungjawab untuk mengendalikan SPRM juga berakhir sehingga tempoh berkenaan. - Bharian

No comments:

Post a Comment