27 December 2008

Eksklusif: Masa Untuk Berubah Sudah Tiba, Dato' Fauzi Optimis Pakatan Rakyat Bakal Memerintah Pahang Selepas Pilihanraya Umum Ke-13 Nanti !!

KUANTAN - Bekas Timbalan Menteri Datuk Fauzi Abdul Rahman, bukanlah nama asing dalam politik Pahang. Malah namanya pernah ‘meletup’ pada satu ketika dulu apabila mengambil tindakan berani membuat laporan polis terhadap bekas Menteri Penerangan yang juga Setiausaha Agong Umno ketika itu Tan Sri (Tun) Khalil Yaakob pada 2001 berkaitan penyelewengan balak negeri Pahang.

Namun begitu selepas nama bekas Adun Beserah itu tersingkir daripada senarai calon pilihan raya umum (PRU) 2004, namanya seolah-olah dilupakan. Bagaimana pun selepas meninggalkan Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jun lalu, namanya kembali menjadi sebutan. Pada 20 Disember yang baru lalu pula Fauzi dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Pahang yang baru menggantikan Zakaria Abdul Hamid yang mengisi jawatan Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PKR Pusat.

Fauzi, 62, yang dianggap membuat ‘come back’ dalam politik negeri ini dan meninjau pendapatnya dalam beberapa isu terutama melibatkan negeri Pahang. Antara yang membuatkannya tidak dapat berdiam diri ialah melihat cara menguruskan negeri ini yang dianggapnya tidak competent, accountable dan transparent. Menurutnya, keadaan inilah yang menyebabkan Pahang sedang menghadapi kemelut dan masaalah kewangan yang tenat.

Ini terbukti dengan pembentangan bajet baru-baru ini yang mengalami defisit menghampiri RM100 juta untuk tahun kesebelas berturut-turut. Sedangkan pada masa yang sama hutang kerajaan negeri dikatakan telah mencecah RM 1.5 billion. Ini ditambah lagi dengan Kerajaan Pahang hari ini diselubungi pelbagai isu seperti disaman RM60 juta, anak-anak syarikat kerajaan negeri tak pernah untung dan terbaru peristiwa memalukan penyitaan Astana Golf Club (milik PKNP) kerana gagal membayar hutang Agro Bank.

“Saya sedikitpun tidak terkejut dengan keadaan begini, malahan pada tahun 2001, semasa saya membuat laporan polis atas kepincangan pengurusan kewangan kerajaan negeri ketika itu, saya telah meramalkan bahawa Pahang akan menghadapi kemelut dan masalah kewangan dalam tempoh masa 10 hingga 15 tahun’. “Dalam bahasa kasarnya, Pahang akan muflis. Telahan saya ternyata benar. Tetapi, ketika itu Umno cop saya sebagai penderhaka dan pengkhianat,” kata Fauzi. Berbalik kepada isu situasi kewangan negeri ini, Fauzi yang juga Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang pertama itu berkata, Pahang bernasib baik mendapat ihsan kerajaan pusat yang boleh bertolak ansur tidak membayar hutang. Malahan kerajaan pusat terus memberi pelbagai kemudahan kewangan dan pinjaman. Read More...

No comments:

Post a Comment