KUALA LUMPUR: Skim pencen yang dicadangkan kepada mereka yang terbabit dalam industri perfileman, termasuk artis bagi menjamin keselesaan hidup mereka pada masa depan, sekali lagi dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet, semalam.Menteri Perpaduan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal, berkata beliau sudah membawa isu berkenaan (pencen bagi industri perfileman) apabila melihat keperluan itu bagi menjamin masa depan mereka.
Beliau berkata, walaupun Kementerian Sumber Manusia ada membangkitkan skim pencen kepada pekerja swasta di negara ini tetapi skim sama juga wajar difikirkan bagi membantu mereka yang terbabit dalam industri perfileman.
“Sebenarnya, peranan yang dimainkan industri ini cukup besar termasuk mampu membentuk personaliti individu tertentu yang menjadikan seseorang pelakon itu sebagai idola mereka.
“Sudah sampai masanya, kita melihat dengan lebih mendalam bagaimana usaha boleh digerakkan bagi membantu penggerak industri berkenaan,” katanya selepas melancarkan KRU Studios, di sebuah pusat beli belah, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Finas, Datuk Razali Ibrahim, Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd, Redza Rafiq, Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyiddin Mustakim dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios Sdn Bhd, Norman Abdul Halim.
Ibu pejabat KRU Studios yang dibina di atas tanah seluas lebih lima hektar di Cyberjaya membabitkan pembinaan bangunan dua tingkat dalam tiga fasa yang akan dibina Januari tahun depan dan dijangka siap lapan bulan kemudian.
Shafie mengakui skim pencen yang hendak diwujudkan perlu dilakukan dengan teliti berdasarkan kepada pendapatan tidak tetap yang diperoleh mereka yang terbabit dalam industri berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, setidak-tidaknya usaha perlu dilakukan bagi mencarum golongan terbabit dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan masa depan mereka lebih terjamin.
“Saya melihat banyak usaha boleh dilakukan bagi membantu golongan berkenaan termasuk menyediakan kursus dan latihan kemahiran dalam bidang tertentu sebagai persediaan jika tenaga mereka tidak lagi diperlukan industri perfileman,” katanya. - Mymetro
Berita Berkaitan :-
Mr. Os menjadi pemandu teksi
No comments:
Post a Comment