Kos sara hidup meningkat, anak belajar di menara gading buatkan Mr Os ketepikan rasa malu dan ego
AGAK lama menyepi, pelakon yang cukup popular sekitar pertengahan 80-an, Mr Os kini memilih kerjaya sebagai pemandu teksi. Pelbagai persepsi diterima daripada masyarakat apabila mereka melihat pelakon yang nama sebenarnya Mohd Yusof Abd Hamid itu memandu teksi di sekitar Lembah Klang.
Kebanyakannya menyifatkan Os merendahkan martabatnya sebagai artis apabila bergelar pemandu teksi. Biar apa pun tanggapan diberikan masyarakat, pelakon berusia 47 tahun itu nyata mempunyai alasan sendiri.
Kos sara hidup yang kian meningkat, ditambah dengan anak-anak yang sedang membesar, menuntut pelakon yang satu ketika dulu cukup popular dengan filem Adik, Mr Os, Orang Kampung Otak Kimia, Sahabat serta banyak lagi mencari pendapatan tambahan untuk menanggung keluarganya yang besar.
Ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini, Mr Os enggan mendedahkan berapa zuriat yang dikurniakan. Katanya cukup jika dia memberitahu bilangan anaknya besar. Bukan mahu berahsia tetapi Os tidak mahu ada yang beranggapan dia cuba meraih simpati orang ramai. Sebagai bapa, tanggungjawab memberi nafkah adalah tugasnya. Namun dia berbangga kerana anak-anaknya kini berada di menara gading.
“Saya memilih untuk bawa teksi kerana waktu kerjanya bebas. Lagipun sehingga kini saya masih lagi menerima tawaran membuat persembahan. Dengan waktu kerja yang fleksibel memudahkan saya untuk menyusun jadual kerja saya.
“Tetapi tidak dinafikan ada yang memandang rendah pada kerjaya saya. Ada masyarakat yang berpendapat saya merendahkan martabat sebagai artis tapi tidak kurang pula yang menganggap saya bijak kerana undangan persembahan masih lagi saya kejar dan pada waktu yang sama saya memandu teksi.
“Dulu komitmen kurang tetapi sekarang anak-anak sudah membesar. Saya perlu mencari duit lebih untuk menanggung keluarga kerana dua anak saya menuntut di Universiti Teknologi Mara dan Kolej Islam Antarabangsa.
“Bagaimanapun saya bersyukur, walaupun memandu teksi saya masih mampu menanggung pelajaran anak-anak tanpa mengharapkan wang daripada tabung pendidikan,” katanya yang sudah tiga tahun memandu teksi.
Dalam pertemuan singkat di Balai Berita, pelakon yang berasal dari Perak itu meluahkan kekecewaan kerana ada pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atasnya hanya kerana dia pelakon lama. Paling membuatkan Os terkilan, ada penerbit yang menawarkannya kerja tetapi mahu membayarnya dengan harga lama.
Walaupun jarang muncul di kaca televisyen dan berada dalam kategori pelakon lama, dia masih mempunyai nilai. Kebanyakan mereka menjadikan alasan bahawa dia tidak lagi aktif untuk membayarnya pada kadar yang sangat rendah dan tidak berpatutan.
“Saya pernah menerima tawaran daripada penerbit drama yang mahu undang saya berlakon tetapi kata mereka bajet drama itu rendah. Mereka datang bertemu dengan saya di tempat teksi tetapi menyatakan tidak mampu bayar kerana tidak ada bajet. Saya bukan nak minta lebih tetapi saya ada nilai dan harga diri.
“Konsep saya mudah saja, saya lebih rela tidak buat langsung daripada menerima bayaran yang tidak setimpal. Takkanlah saya nak terima tawaran dengan harga 20 tahun dulu, perkara itu langsung tidak masuk akal. Dia ingat kita orang lama, sudah lama tak muncul di kaca televisyen jadi mereka boleh bayar dengan sesuka hati.
“Manusia memang suka mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Saya tidak tahu nak letak harga tetapi penerbit pun kenalah pandai menilai,” katanya yang pernah ditawarkan bekerja di bahagian perhubungan awam oleh seorang rakan karib tetapi terpaksa ditolak kerana tidak mahu terikat dengan waktu kerja.
Selain ditawarkan bekerja dalam bidang perhubungan awam, Mr Os juga pernah terlintas untuk membuka perniagaan makanan. Bagaimanapun, melihat perniagaan rakan yang kebanyakannya tidak menjadi menyebabkan hasrat itu terpaksa dibatalkan.
Sebaliknya dia kini selesa dengan kerjaya barunya, berkongsi kenangan manis, kata Os dia pernah menerima bayaran sebanyak RM1,050 daripada penumpangnya.
Bukan atas dasar simpati tetapi wang sebanyak itu diberikan daripada penumpang yang juga peminatnya kerana dia terlalu menghargai kerjaya Os sebagai pelakon yang cukup popular satu ketika dulu.
No comments:
Post a Comment