28 December 2008

Kuasa dunia gesa hentikan keganasan

BRUSSELS 28 Dis. - Kuasa-kuasa dunia menuntut supaya keganasan dihentikan segera selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas kedudukan pasukan keselamatan Hamas di Genting Gaza semalam sebagai membalas serangan roket oleh pejuang Palestin.

Kesatuan Eropah (EU), Rusia dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa kedua-dua pihak menghentikan keganasan, tetapi sekutu terkuat Israel, Amerika Syarikat (AS) seperti dijangka menyalahkan Hamas, pentadbir Genting Gaza, kerana mencabuli gencatan senjata enam bulan yang berakhir pada 19 Disember lalu.

Di Asia Barat, Liga Arab menyalahkan rejim Yahudi itu sementara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) menuduhnya melakukan “jenayah perang” kerana tidak menghiraukan nyawa penduduk awam Palestin.

Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Mussa mahu Menteri-Menteri Luar negara Arab mengadakan mesyuarat tergempar di Kaherah hari ini.

Ketua dasar luar EU, Javier Solano menyifatkan serangan Israel itu sebagai tidak wajar kerana meragut begitu banyak nyawa penduduk awam Palestin dan hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan selain merumitkan usaha mencari penyelesaian secara aman.

EU juga menggesa supaya semua pintu keluar dari Gaza dibuka semula dan penghantaran bekalan bantuan dan bahan api ke wilayah itu dipulihkan, sambil mendesak Israel menarik balik sekatan terhadap kemasukan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, wartawan dan diplomat ke Gaza.

Kementerian Luar Rusia mendesak Israel “menghentikan segera penggunaan kekerasan secara besar-besaran ke atas Genting Gaza.”

Di Turki, Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan menggambarkan operasi tentera Israel itu sebagai tanda “kebiadaban” terhadap usaha Ankara untuk merundingkan perdamaian antara Israel dengan musuh lamanya, Syria.

Sementara itu, demonstrasi mengutuk serangan Israel itu berlangsung dari Istanbul hingga ke Paris dan di ibu negara Maghribi, Rabat. - AFP

* Umat Islam di Palestin sedang disembelih oleh Israel !!!

No comments:

Post a Comment