GENTING GAZA 30 Dis. – Jet-jet pejuang Israel terus memperhebatkan serangan di Genting Gaza awal hari ini, masuk hari keempat berturut-turut, mengorbankan 10 lagi penduduk Palestin.
Serangan tersebut turut menyebabkan 40 lagi penduduk Palestin cedera.
Serangan terbaru Israel itu di wilayah ini, turut meragut nyawa pasangan adik-beradik perempuan berusia 10 dan 12 tahun.
Pegawai perubatan meletakkan angka kematian sejak serangan Israel bermula Sabtu lalu pada 374 orang dan 1,690 yang lain cedera.
Sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 62 orang awam turut terkorban dalam serangan Israel di Genting Gaza.
Sementara itu, pejuang-pejuang Hamas di Gaza meningkatkan serangan roket ke wilayah Israel hari ini menyebabkan seorang anggota tentera Israel dekat sempadan Gaza terbunuh dan mengorbankan seorang lagi penduduk Israel di bandar Ashdod..
Setakat ini, lima orang Yahudi di Israel terbunuh dalam serangan roket yang dilancarkan oleh pejuang Hamas sejak serangan Israel pada Sabtu lalu.
Tinggal enam minggu sebelum Israel berdepan dengan pilihan raya yang diramalkan dimenangi oleh Parti Likud, kerajaan Israel menyatakan bahawa serangan dilakukan bertujuan menamatkan serangan roket oleh pejuang Hamas.
Menteri Dalam Negeri Israel, Meir Sheetrit menjelaskan, tiada ruang untuk gencatan senjata dengan Hamas sehinggalah serangan roket Hamas dihentikan.
“Tentera Israel tidak akan menghentikan operasi selagi tidak menghancurkan semangat penduduk Palestin daripada menyokong Hamas dan selagi mereka terus melancarkan roket ke atas Israel,” katanya kepada Israel Radio.
– Reuters
* Malaysia perlu desak Mesir buka sempadan
No comments:
Post a Comment