31 December 2008

Dasar PPSMI: Guru jangan tergesa-gesa

PUTRAJAYA 30 Dis. - Kementerian Pelajaran menasihatkan 350,000 guru yang bernaung di bawah 25 kesatuan jangan tergesa-gesa membuat kenyataan melulu berhubung pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom sebaliknya meminta mereka bersabar dan memberi peluang kepada Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk membuat kajian terhadap dasar itu.

Tegas beliau, sesuatu dasar memerlukan penelitian terperinci sebelum keputusan dapat dilaksanakan.

''Setakat ini lima persidangan meja bulat membincangkan dasar ini telah diadakan. Tak baik tergesa-gesa sebab kita perlu fikir masa depan anak-anak, kerajaan tahu apa yang hendak dan perlu dibuat.

''Segala maklumat, surat, memorandum dan e-mel telah dihantar dan disampaikan terus kepada menteri untuk beliau buat keputusan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Alimuddin mengulas kenyataan Majlis Permuafakatan Kesatuan/Persatuan Guru Kementerian Pelajaran semalam yang sudah mengemukakan memorandum rasmi sebulat suara menolak pelaksanaan PPSMI di peringkat sekolah rendah.

Pengerusi majlis permuafakatan itu, Jemale Paiman berkata, mereka mahu kerajaan mengembalikan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar kedua-dua mata pelajaran berkenaan masing-masing di sekolah kebangsaan (SK) serta sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Kesatuan dan persatuan berpendapat, PPSMI hanya wajar dilaksanakan mulai pendidikan menengah selepas murid mendapat pendedahan, pemahaman serta penguasaan asas yang kukuh dua subjek itu melalui pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah.

Dalam perkembangan lain, Alimuddin menyifatkan cadangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Terengganu agar nama bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail diabadikan dalam bentuk anugerah atau nama institusi pengajian tinggi (IPT), sebagai sangat baik.

''Kita akan pertimbangkan secara mendalam kerana kita tahu ketokohan Allahyarham dalam bidang pendidikan," katanya. - Utusan

* Bahasa Melayu sudah hendak ranap masih suruh bersabar

No comments:

Post a Comment