12 December 2008

Dewan lulus pindaan AUKU

Rang undang-undang dapat undi majoriti daripada Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2008 (AUKU) yang membabitkan 61 pindaan diluluskan Dewan Rakyat semalam bagi dijadikan sebahagian daripada akta itu.

Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ronald Kiandee mengumumkan kelulusan akta itu selepas pindaan rang undang-undang itu mendapat undi majoriti daripada Ahli Parlimen selepas bacaan kali ketiga.

Kelmarin, rang undang-undang itu dibacakan buat kali kedua oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pindaan itu bertujuan menambahbaik dan memperluas autonomi universiti dengan memindahkan beberapa kuasa Yang di-Pertuan Agong dan menteri kepada pihak berkuasa universiti yang antara lain terdiri daripada Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Senat dan Naib Canselor.

Selepas diwartakan, pindaan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira sejuta penuntut dan kakitangan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) di seluruh negara

Mohamed Khaled berkata, kuasa untuk menubuhkan fakulti dan jabatan yang dahulunya dalam bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong diberikan kepada Senat.

"Pindaan ini selaras fungsi Senat sebagai badan utama akademik di IPT," katanya.

Selain itu, kuasa menteri dalam hal ehwal rayuan tatatertib pelajar universiti juga dipindahkan kepada Jawatankuasa Rayuan Tatatertib Pelajar universiti yang keanggotaannya ditentukan LPU dan langkah itu dapat mempercepatkan proses penyelesaian kes rayuan.

Beliau berkata, pindaan itu akan mendorong pemantapan tiga aspek utama iaitu tadbir urus universiti, kebajikan, hak asasi pekerja universiti, kebajikan dan hak asasi pelajar.

Katanya, pindaan itu dilakukan berikutan perkembangan semasa bidang pendidikan tinggi termasuk di peringkat antarabangsa dan kematangan pelajar menangani erti kebebasan serta kepelbagaian selain komitmen kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau.

Ketika ini ada 500 IPTS dan 20 institusi IPTA yang tertakluk di bawah AUKU 1971.

Terdahulu, ketika pembahasan, beliau berkata, pindaan AUKU adalah berlandaskan pendidikan dan bukan bermotif politik. - Bharian

No comments:

Post a Comment