31 December 2008

PMR: 51% calon jawab Sains dalam BI - Malaysiakini

Seramai 51.2 peratus calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, menjawab

soalan Sains dalam bahasa Inggeris. Seramai 472,060 calon mengambil PMR tahun ini.

Jumlah tersebut meningkat lebih sekali ganda berbanding dengan 21.5 peratus yang berbuat demikan pada tahun sebelumnya.

Bagi soalan Matematik pula, 21.5 peratus calon menjawabnya dalam bahasa Inggers, berbanding dengan hanya 4.6 peratus tahun lalu.

Mengulas mengenainya, Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata adalah menggalakkan apabila jumlah pelajar yang menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris semakin meningkatkan, lapor Bernama.

Mengenai keputusan keseluruhan PMR pada tahun ini, beliau berkata, 26,378 pelajar atau 5.96 peratus mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil - meningkat daripada 5.65 peratus tahun lalu dan 4.83 peratus pada 2006.

"PMR tahun ini juga menunjukkan peningkatan dalam semua mata pelajaran kecuali Geografi dan Bahasa Arab Komunikasi dengan Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan tertinggi iaitu 3.6 peratus," kata Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika mengumumkan keputusan PMR hari ini.

Katanya, pencapaian jurang perbezaan antara pelajar bandar dan luar bandar semakin mengecil terutamanya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Gred A bagi mata pelajaran Matematik pelajar luar bandar ialah 2.7 peratus berbanding 2.1 peratus di bandar manakala Gred A mata pelajaran Sains ialah 0.3 peratus pelajar luar bandar dan -0.3 peratus pelajar di bandar.

"Perbezaan yang kian mengecil itu menunjukkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan menerusi teras strategik yang kedua iaitu merapatkan jurang pelajar bandar dan luar bandar berjaya mencapai matlamatnya," katanya.

Mengenai jumlah calon yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum dalam mata pelajaran yang diambil dengan mendapat sekurang-kurangnya semua D, Alimuddin berkata ia menunjukkan penurunan daripada 63.53 peratus tahun lalu kepada 62.93 peratus tahun ini.

Jumlah pelajar yang memperoleh semua E pula ialah 440 (0.10 peratus) berbanding 559 (0.13 peratus) pada 2007 dan 524 (0.13 peratus) pada 2006.

"Majoriti calon pada tahun ini juga mendapat gred yang lebih baik daripada Gred C untuk 12 mata pelajaran dan ini adalah sesuatu yang membanggakan," katanya.

No comments:

Post a Comment