KUALA LUMPUR 19 Dis. - Seorang buruh dihukum penjara tiga tahun dan sebatan sekali oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah meragut beg tangan wanita di sebuah perhentian bas.
Majistret Aizatul Akmal Maharani memerintahkan hukuman terhadap Kamazul Alias, 41, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian, 6 Oktober lalu.
Menurut Aizatul, beliau perlu mengambil kira kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman kerana beberapa mangsa wanita telah menemui ajal kerana perbuatan seumpama itu.
Kamazul mengaku meragut beg tangan Choo Shiau Kuen, 23, yang sedang menunggu bas untuk ke tempat kerja di Jalan Tun Perak melalui Jalan Hang Lekiu di sini pada pukul 7.46 pagi, 6 Oktober lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, Kamazul yang mengakui segala kesilapannya memberitahu, dia berazam untuk berubah dan memohon mahkamah memberi peluang terakhir kepadanya.
Walau diwakili seorang peguam pelatih dalam kamar, Kamazul kerap menyampuk serta menambah dari belakang semasa rayuan dibuat.
Pegawai pendakwa, Cif Inspektor R. Rukumar memohon hukuman berat kerana tertuduh mempunyai tiga sabitan lampau melibat jenayah curi dan pecah rumah.
Katanya, mangsa bernasib baik kerana seorang anggota polis trafik kebetulan berada di tempat kejadian dan melihat perbuatan Kamazul sebelum mengejar dan menangkap tertuduh. - Utusan
No comments:
Post a Comment