21 December 2008

Ahli akademik luar negara dipanggil balik – Khaled

JOHOR BAHRU 20 Dis. – Golongan cendekiawan, ahli akademik dan pakar sains di luar negara yang diberhentikan kerja ekoran kegawatan ekonomi dunia, kemungkinan akan dipanggil untuk berkhidmat di institusi pengajian tinggi negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan akan menawarkan kemudahan dan imbuhan menarik bagi membolehkan mereka berkhidmat terutama dalam bidang-bidang yang negara kekurangan pakar.

“Punca golongan ini termasuk warga tempatan berkhidmat di luar negara ialah kerana mahu mendapatkan pendapatan lebih tinggi dan kerajaan tidak mampu menyediakan pendapatan yang sedemikian.

“Tetapi dengan keadaan kegawatan ekonomi sekarang maka jika mereka dibuang kerja, mungkin golongan itu akan dipanggil balik bekerja di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan watikah pelantikan jawatankuasa penasihat Kolej Komuniti Pasir Gudang dekat sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, situasi ekonomi dunia pada waktu ini dalam keadaan gawat teruk yang kemungkinan besar akan mengakibatkan golongan pekerja dari semua peringkat termasuk ahli akademik diberhentikan kerja.

Menurutnya, ia sejajar dengan dasar kerajaan untuk sentiasa menarik bijak pandai dan pensyarah dari luar negara sama ada warga negara ini atau tidak untuk berkhidmat di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu merupakan salah satu usaha yang mungkin diambil apabila kementerian memuktamadkan kajiannya mengenai kesan kegawatan ekonomi global terhadap sektor pengajian tinggi negara.

Katanya, terdapat beberapa lagi langkah yang sedang dikaji bagi memastikan sektor tersebut tidak terjejas dengan kesan ekonomi itu di samping mengambil manfaat daripada situasi sejagat.

“Kajian itu akan disiapkan dalam tempoh sebulan lagi,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, kolej-kolej komuniti pula akan memperbanyakkan kursus-kursus jangka pendek bagi membekalkan kemahiran dan melatih pekerja termasuk mereka yang diberhentikan kerja ekoran kesan ekonomi itu.

Menurutnya, kursus itu akan memudahkan mereka memasuki pasaran kerja dan memenuhi keperluan industri. - Utusan

* Ada antara mereka sudah menerima surat tatatertib kerana engan pulang ke Malaysia oleh pihak universiti. Minta Datuk beri pelepasan/kelonggaran kepada mereka jika masih ingin memohon bertugas semula di universiti asal atau universiti yang lain mungkin kekurangan pengajar (PHD) lulusan luar negara seperti di US.

No comments:

Post a Comment