PEKAN 20 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji sama ada bakal pengantin bukan Islam turut diwajibkan menjalani ujian saringan HIV bagi mengelak penyakit itu merebak kepada pasangan dan anak-anak.Menurut Timbalan Perdana Menteri, ini kerana tiada kursus perkahwinan yang diwajibkan kepada pasangan bukan Islam seperti mana ia diwajibkan ke atas pasangan beragama Islam dengan ujian berkenaan dijadikan sebahagian daripada kursus perkahwinan.
"Kita akan kaji sama ada cadangan ini boleh dilaksanakan ataupun tidak kerana bagi masyarakat bukan Islam, tiada kursus perkahwinan yang diwajibkan seperti mana kepada orang Islam.
"Jadi kalau ini (ujian saringan HIV) nak diwajibkan, kita tidak tahu sama ada boleh dikuatkuasakan ataupun tidak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada anak-anak Setiausaha Kerja UMNO Pahang, Datuk Abdullah Rahmat yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya pada 10 Disember lalu di Lebuhraya Pantai Timur di kediaman Allahyarham di sini, hari ini.
Najib mengulas cadangan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian yang menyarankan peraturan mewajibkan ujian saringan HIV diperluaskan kepada semua warganegara tanpa mengira agama bagi memastikan generasi akan datang bebas daripada penyakit merbahaya itu.
Kelmarin, Najib mengumumkan langkah kerajaan mewajibkan semua bakal pengantin beragama Islam menjalani ujian saringan HIV bermula tahun depan.
Katanya, semua negeri juga akan mewajibkan ujian itu sebagai sebahagian daripada program praperkahwinan selaras dengan usaha mengurangkan jangkitan HIV terutama kepada wanita yang kini menunjukkan peningkatan daripada segi bilangan penghidap.
Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan, kajian itu perlu bagi mendapatkan maklum balas masyarakat terutama bakal pengantin pasangan bukan Islam sekiranya ujian saringan HIV turut diwajibkan ke atas mereka.
"Kita tidak tahu reaksi masyarakat terhadap cadangan ini," katanya.
Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan berkata, setakat ini tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pasangan bukan Islam menjalani ujian saringan HIV dan selalunya ujian dilakukan secara sukarela oleh mereka.
"Sekarang ini tiada peruntukan undang-undang dan ujian biasanya dilakukan secara sukarela, tetapi jika anda melihatnya daripada segi pandangan masyarakat serta pendapat individu yang berkenaan, terutamanya bakal pasangan, adalah untuk kepentingan mereka juga bagi mengetahui sama ada bakal suami, lazimnya pihak lelaki, sama ada mereka bebas daripada HIV atau tidak.
"Maka, pada masa ini saya fikir bagi orang bukan Islam, asasnya adalah untuk menggalakkan mereka secara sukarela untuk melakukan ujian dan saringan HIV," katanya. - Utusan
* Elok diseragamkan untuk semua rakyat Malaysia. Sudah terlampau banyak jurang.
No comments:
Post a Comment