PUTRAJAYA: Kementerian Pelajaran akan mengkaji segala aspek persekolahan tahun depan, termasuk yuran tambahan bagi mengelak kekeliruan pada awal penggal persekolahan tahun ini berulang.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata jawatankuasa yang dipengerusikan beliau meneliti beberapa isu terbabit.
“Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana yuran tambahan bukan wajib, sebaliknya ditetapkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Harap kekeliruan yang berlaku awal tahun ini dapat dielak dan saya akan membuat beberapa pengumuman sebelum penggal persekolahan bermula,” katanya selepas merasmikan Program Pertukaran Pelajar Asean (Asep) 2008 di Sekolah Sultan Alam Shah di sini, semalam.
Isu yuran tambahan timbul berikutan keputusan kerajaan memansuhkan yuran sekolah rendah RM4.50 dan RM9 bagi sekolah menengah pada Bajet 2008 lalu.
Bagaimanapun, ramai ibu bapa tidak berpuas hati apabila sekolah mengenakan bayaran tinggi sehingga RM100 termasuk bayaran hari sukan, majalah, kertas peperiksaan dan bayaran lain.
Berikutan itu, Kementerian Pelajaran memperkenalkan tiga pakej pembayaran berdasarkan pekerjaan ibu bapa iaitu pakej A RM38.50, pakej B RM30.50 dan C sebanyak RM23.50 untuk sekolah rendah, manakala sekolah menengah pula, RM55.50 (pakej A), RM44.50 (pakej B) dan RM33.50 bagi pakej C.
Pakej A bagi mereka yang bekerja dalam bidang profesional seperti usahawan dan pegawai tinggi kerajaan, pakej B mereka yang bekerja sebagai pegawai kerajaan kumpulan sokongan dan profesional, manakala pakej C mereka yang bekerja sebagai petani, peladang, kakitangan kerajaan dan pekerja bawahan.
Mengenai Asep 2008, Hishammuddin berkata, program ini memberi peluang kepada pelajar untuk bertukar pandangan dan pengalaman sejajar Wawasan 2020 Asean bagi menjadikannya pertubuhan serantau bersekutu yang berpandangan ke depan dan berfikir secara Asean.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar dari negara Asean untuk berinteraksi dan mewujudkan jaringan sesama mereka, selain mengenali budaya serta cara hidup rakan dari negara Asean,” katanya. - Bharian
* Larang sekolah kutip yuran tambahan
No comments:
Post a Comment