12 November 2008

Ibu maut ditikam pembantu rumah

KUANTAN: Seorang warga emas mati dipercayai ditikam pembantu rumah yang baru empat hari bekerja di rumah anak mangsa di Taman Perumahan Karang Maju, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 2 petang itu, mangsa Miati Bakri, 69, dikatakan bersendirian di rumah bersama pembantu rumah berusia 16 tahun kerana anak dan menantunya bekerja.

Miati yang uzur dipercayai ditikam pembantu rumah terbabit sebelum dia melarikan diri meninggalkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

Mangsa sempat keluar dari rumah dan meminta bantuan jiran sebelum jatuh di depan rumah.

Seorang anak mangsa berkata, beliau tidak menyangka kejadian itu berlaku kerana pembantu rumah terbabit kelihatan baik.

“Kami pernah ke rumah keluarga angkatnya di Klang Gate," katanya.

Katanya, mereka menggunakan khidmat pembantu rumah terbabit untuk menemani ibu yang uzur.

Bagaimanapun, katanya selepas beberapa hari berada di rumah itu, pembantu rumah terbabit yang berasal dari Kalimantan, Indonesia mengadu hendak pulang ke rumah bapa angkatnya.

“Kami minta bersabar dan berjanji menghantarnya hujung minggu ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran yang dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

Katanya, suspek yang dipercayai pembantu rumah mangsa berjaya ditahan di Perumahan Damansara, tidak jauh dari tempat kejadian. - Bharian

No comments:

Post a Comment