TAHNIAH diucapkan kepada ketua wanita Kuala Kangsar, Kamilia Ibrahim (foto) kerana tegas dan konsisten dengan hasratnya untuk bertanding Naib Ketua Wanita. Kamilia menolak pelan peralihan kuasa yang dibuat oleh Rafidah Aziz yang berselinung disebalik untuk kepentingan parti namun hakikatnya bertujuan untuk mengekalkan kedudukan dan kekuasaanya dalam sayap kiri Umno itu.Kamalia juga menolak keputusan yang dibuat oleh Exco Wanita yang mahukan pelan peralihan kuasa berjalan seperti mana dirancangkan iaitu pada Jun tahun depan dan yang memutuskan supaya jawatan Ketua dan Naib Ketua tidak dipertandingkan.
Alasan Kamilia untuk kekal dengan keputusan itu ialah kerana, tidak ada peruntukan dalam perlembagaan Umno yang menentukan apa-apa jawatan tidak boleh dipertandingkan dan keputusan Exco wanita itu bukan sesuatu yang dibenarkan oleh perlembagaan. "Saya tidak ikhtiraf pelan peralihan kuasa berkenaan," ujarnya.
Sikap yang diambil oleh Kamilia itu satu sikap tegas, berani dan terbuka yang harus ada pada semua ahli politik. Kamila ternyata mempunyai wawasan dan keyakinan tersendiri dan tidak mudah dijadikan lembu oleh Rafidah seperti mana beberapa Exco wanita lain. Kamilia juga ternyata bukan wanita yang mudah terpesona dengan perfume yang dipakai oleh Rafidah dan beliau ada pewanginya tersendiri.
Ada dua sebab menurut Kamilia kenapa beliau mahu meneruskan hasratnya untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita itu. Pertama, kerana Rafidah sudah mengumumkan untuk berundur dan kedua kerana ingin memperjuangkan Islam dan menaikkan martabat wanita. Menurutnya isu-isu Islam sering disebut dalam pergerakan itu sejak akhir-akhir ini.
Umum tahu bahawa Rafidah tidak begitu mementingkan isu Islam ataupun menjadi juara memperjuangkan isu Islam. Beliau lebih menampilkan dirinya sebagai seorang wanita moden yang bertara antarabangsa. Bibirnya tidak pernah kering atau pudar dengan gincu merah. Dengan penampilan ini menyebabkan tumpuannya kepada hal ehwal wanita terabai atau tidak diperhatikan langsung.
Apa yang berlaku wanita di zaman Rafidah ialah wanita yang tebal dengan gincu, tebal dengan kosmetik dan yang berat lengan dan bahu dengan barang kemas dan beg tangan besar. Keadaan itu menyebabkan wanita dilihat sebagai kumpulan modeling tua daripada wanita yang mempunyai aspirasi untuk perjuangan Melayu dan kaum itu sendiri.
Komitmen Rafidah kepada agama juga begitu rapuh. Hal ini boleh dilihat kepada sikap dan penerimaan kepada pakaian menutup aurat. Saya tidak mahu mengatakan tutup kepala itu wajib, namun fesyen yang menampilkan kesopanan wanita ini terang-terang diketepikan oleh Rafidah. Beliau pernah mempersoalkan mengenai halal haram mengenai penutupan kepala (aurat) wanita semasa dalam Majlis Tertinggi Umno.
Nasib wanita terutamanya ibu tunggal juga tidak terbela dengan sepatutnya. Tidak ada apa-apa institusi yang diperkenalkan oleh Rafidah untuk membantu wanita golongan ini. Pendeknya wanita di zaman Rafidah hanya wanita bermerah-merahan sahaja.
Jadi apabila Kamilia sudah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua dengan membawa wawasan dan gagasan yang dilihat progres itu seharusnya perwakilan wanita memberi perhatian. Apa lagi disaat Umno sedang menunju ke hancuran kini eloklah kalau wanita juga turut sama memainkan peranan untuk membaiki dan mengembalikan mertabat dan wibawa Umno dimata umum khususnya kaum perempuan di negara ini. - mso melayu
No comments:
Post a Comment