11 November 2008

Wanita menangis gagal bayar ikat jamin anak

KUALA LUMPUR: Ibu seorang pesalah muda menangis teresak-esak di Mahkamah Sesyen, di sini semalam selepas gagal menyediakan RM5,000 bagi menjamin anaknya yang didakwa merompak tiga pekerja sebuah restoran, dua minggu lalu.

Ibu terbabit memberitahu memberitahu mahkamah beliau hanya mampu menyediakan RM500 sebagai ikat jaminan anaknya itu.

Hakim Mohd Nasir Nordin bagaimanapun mengarahkan ibu kepada pesalah itu untuk berhenti menangis selain mengekalkan jaminan dikenakan.

“Tak payah menangis. Biar dia belajar sikit duduk dalam penjara. Kalau di luar dia akan buat kesalahan lagi,” katanya.

Mohd Ramzan Saiful Rahman, 19, dan seorang rakannya yang berumur 16 tahun mengaku tidak bersalah bersama tiga lagi yang masih bebas merompak warga negara India, W Balasubramaniam, B Ganesan dan Mohamed Malik dengan melarikan wang tunai berjumlah RM1,000, wang syiling RM100 dan 45 kotak rokok pelbagai jenis

Mohd Ramzan dan pesalah juvana itu didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Rezeki Jaya, Blok 2, Tingkat Bawah Apartmen Jaya, Desa Tun Razak, Cheras pada 4.30 pagi 25 Oktober lalu.

Mahkamah menetapkan 17 Disember ini bagi sebutan semula kes, selain memutuskan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap Mohd Razman dan RM4,000 bagi remaja berusia 16 tahun itu. - Bharian

No comments:

Post a Comment