Aseanapol kerjasama hadapi tindakan balas JIKUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan kerjasama dengan polis Asean (Aseanapol) dalam menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan aktiviti Jemaah Islamiah (JI) di rantau ini selepas tiga pengebom Bali dihukum mati di Indonesia, kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata pihaknya akan memantau semua aktiviti yang mempunyai hubung kait dengan rangkaian pengganas di negara ini.
“Kita akan pantau semuanya. Kita juga akan bekerjasama dengan Aseanapol dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman nega-ra terpelihara,” katanya selepas persidangan persatuan PDRM di sini, semalam.
Anggota JI itu, Amrozi, 47; abangnya Mukhlas, 48 dan Imam Samudra, 38, ditembak mati di sebuah ladang limau berhampiran penjara mereka di Pulau Nusakambangan, selatan Jawa, kelmarin.
Dalam serangan bom yang dilancarkan di sebuah kelab malam di Bali pada 2002, lebih 160 orang termasuk 88 rakyat Australia terbunuh.
Sementara itu, satu sumber berkata, polis tidak menolak kemungkinan berlakunya serangan di dalam negara ini atau negara lain di rantau ini oleh anggota JI untuk membalas dendam.
Katanya, polis bagaimanapun sudah mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah perkara itu termasuk meningkatkan maklumat risikan selain memantau individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan JI.
Dalam perkembangan lain, Musa berkata persidangan yang disertai Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Polis Diwartakan; Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cif Inspektor dan Per-satuan Pegawai Rendah Polis itu dapat menjana rumusan yang baik dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan PDRM. - Bharian
No comments:
Post a Comment