Ketenteraman awam diutamakan
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri mempertahankan tindakan polis menyuraikan sekumpulan 200 orang yang menyertai perhimpunan haram di Pusat Sivik Petaling Jaya Ahad lalu.
Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata dalam keadaan seperti itu polis perlu bertindak bagi memastikan ketenteraman awam diberi keutamaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis boleh memberikan butiran kepadanya bagi membolehkannya menentukan kesahihan sesuatu dakwaan.
"Polis bertanggungjawab untuk mempertahankan peraturan dan undang-undang, tapi saya masih belum mendapatnya (laporan). Biar saya periksa memandangkan pagi ini (semalam) ada orang beritahu saya.
“Ini kerja rutin polis, jika anda ada melakukan sesuatu perkara dan polis mengambil tindakan. Jika tidak berpuas hati, berikan maklumat secara spesifik kepada saya dan saya akan memeriksanya,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.
Beliau mengulas mengenai perhimpunan di Pusat Sivik Petaling Jaya, Ahad lalu yang menyaksikan 24 orang, termasuk tiga pemimpin pembangkang ditahan polis. Mereka adalah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Phua; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran, Ronnie Liu dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San.
Antara lain yang ditahan adalah juruvideo Malaysiakini, Syukri Mohamad dan seorang paderi Katholik, di hadapan Pusat Sivik Petaling Jaya. Mereka semua dibebaskan jam 7 pagi semalam dengan jaminan polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, dalam kenyataannya kelmarin berkata, 24 orang itu ditahan kerana menyertai perhimpunan haram dan enggan bersurai.
Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk tindakan polis kerana bertindak kasar kepada peserta kumpulan berkenaan.
"Phua hadir untuk memberi sokongan kepada sistem pilihan raya bebas dan adil... takkan ini menyebabkan dia ditahan?” katanya. - Bharian
No comments:
Post a Comment