KUALA TERENGGANU: Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mohammad Abdullah yang berang dengan kegagalan seorang daripada 47 tertuduh pengikut ajaran sesat Ariffin Mohamad atau Ayah Pin hadir ke mahkamah semalam, selepas dua tahun kes itu ditangguhkan mengarahkan bon jaminan wanita itu sebanyak RM1,000 dirampas dan dikeluarkan waran tangkap.
Kegagalan wanita itu, Fitrahaine Mohamed Nordin, 29, dan seorang lelaki, Daud Mamat, 76, hadir menyebabkan perbicaraan itu di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, sekali lagi tertangguh semalam.
Keadaan itu menyebabkan Mohammad meminta peguam bela semua tertuduh, Sa'adiah Din membuat penjelasan dan beliau memberitahu mahkamah, semua anak guamnya sudah dimaklumkan prosiding yang perlu mereka dihadiri.
"Saya benarkan penangguhan beberapa kali sebelum ini dengan harapan semua tertuduh dapat hadir dan saya sedia mendengar, sebab itu penangguhan dibuat di luar dewan bicara.
"Semua tertuduh juga terikat dengan bon jaminan yang diberikan mahkamah dan jika perkara itu wujud (ada yang tidak hadir) sila berikan alasan kepada mahkamah kenapa bon jaminan sebanyak RM2,000 tidak boleh dirampas," katanya.
Sa’adiah memberitahu mahkamah, Daud tidak hadir kerana diserang angin ahmar, manakala Fitrahaine sarat mengandung dan menanti hari untuk melahirkan anak.
Mohammad, bagaimanapun mempertikaikan kesahihan maklumat itu kerana ia tidak disertakan dengan dokumen berkaitan, termasuk laporan pemeriksaan kesihatan pranatal Fitrahaine dan laporan perubatan Daud.
Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah kemudian memohon kepada mahkamah supaya perbicaraan kes itu dijalankan serentak kerana memerlukan saksi sama.
Perbicaraan bersambung hari ini dan jika kedua-dua tidak hadir, tarikh perbicaraan ditetapkan pada 15 Februari depan. - Bharian
No comments:
Post a Comment