NEW YORK 5 Nov. – Suasana penuh kemeriahan seperti yang biasa dilihat selepas selesai satu temasya sukan dapat dilihat di seluruh Amerika Syarikat (AS), lewat semalam apabila orang ramai bersorak kegembiraan setelah Barack Obama diumumkan sebagai pemenang pilihan raya Presiden AS kali ini.
Di Times Square, New York, penduduk bandar besar ini menjerit kegirangan dan menari sambil melaungkan “Obama! Obama!” dan “Yes we can!” ketika skrin televisyen gergasi menayangkan kemenangan dramatik calon kulit hitam daripada Parti Demokrat itu.
Pihak polis berdepan kesukaran untuk mengawal kebanjiran manusia yang memenuhi jalan-jalan raya di bandar raya ini.
“Ini amat menakjubkan dan merupakan detik bersejarah bagi AS. Saya telah melihat liku-liku gelap sejak lapan tahun lalu,” kata seorang pereka produksi filem, Andrew Bernard yang turut mendukung anaknya yang berusia 10 tahun.
Ribuan bendera AS berkibar dan berselang-seli dengan pancaran cahaya kamera ketika rakyat, tidak kira tua dan muda menari, berpelukan dan menjerit bagi menyambut kemenangan Presiden kulit hitam pertama AS itu.
Pemimpin hak asasi sivil, Jesse Jackson yang pernah cuba merebut jawatan tertinggi AS pada tahun 1984 dan 1988 namun gagal mendapat pencalonan daripada Parti Demokrat, turut menitiskan air mata kegembiraan.
“Hari ini saya gembira menjadi rakyat kulit hitam di Amerika. Ini adalah hari yang seronok, amat menyeronokkan,” kata salah seorang penyokong Obama, Rosemary Morris yang duduk berehat di salah sebuah patung di sebuah taman di New York.
Lebih sejuta orang dijangka memenuhi kawasan sambutan di Grant Park yang mana kira-kira 65,000 tiket disediakan supaya penyokong dapat mendengar ucapan kemenangan Obama.
Buat julung kalinya juga, meja syarahan yang akan digunakan oleh Obama dilengkapi dengan skrin kaca kalis peluru bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Di ibu negara, Washington, DC, siaran televisyen menunjukkan orang ramai menari dan menyanyi di jalanan sebagai satu simbolik kepada lokasi keganasan perkauman yang pernah terjadi di bandar ini pada tahun 1968. – AFP
No comments:
Post a Comment