JAKARTA 5 Nov. _ Murid-murid sebuah sekolah rendah di sini - sekolah yang pernah menjadi tempat Barack Obama belajar di Indonesia telah mengadakan sambutan bagi meraikan kemenangan tokoh kulit hitam itu pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), hari ini
Kini seluruh murid sekolah di Menteng, di tengah bandar raya Jakarta ini sedang menanti kunjungan pertama Obama selepas bergelar Presiden AS.
“Obama menang! McCain kalah!” laung seramai 250 murid sekolah berkenaan ketika mereka mengikuti liputan pilihan raya Presiden AS melalui kaca televisyen.
Timbalan Pengetua sekolah, Akahmad Solikhin menerima tepukan gemuruh daripada murid-murid ketika beliau mengumumkan bahawa Obama akan melawat sekolah itu tidak lama lagi.
“Jika Obama menang, beliau akan melawat sekolah kita,” katanya mengumumkan perkara berkenaan kepada murid-muridnya.
Obama, anak kepada ibu kulit putih Amerika dan bapa dari bangsa Kenya, dibesarkan di Hawaii dan kemudiannya berpindah ke Indonesia ketika berusia enam tahun selepas orang tuanya bercerai dan ibunya berkahwin dengan seorang rakyat Indonesia.
Beliau mengikuti persekolahan di Menteng pada lewat 1960-an dan beliau menganggap memorinya ketika berada di negara ini sebagai “anak muda yang dermawan”.
Akahmad berkata, kemunculan Senator dari Illinois itu sebagai Presiden kulit hitam pertama AS dan seterusnya menjadi manusia paling berkuasa di dunia pada masa ini, memberikan satu pengaruh yang sangat kuat kepada sekolah itu.
“Kami menggunakan Obama sebagai alat bagi memotivasikan murid-murid untuk terus mencapai kejayaan.
“Terdapat hubungan yang emosi antara murid-murid di sini dengan Obama,” katanya, sambil menambah kata bahawa sekolah itu mengalami pertambahan pelajar sebanyak 10 peratus berbanding lima peratus sebelum ini.
Pelajar Tahun Enam, Farhan Ashardi, 11, berkata, dia percaya bahawa dia juga boleh menjadi Presiden bagi negara Indonesia pada suatu hari kelak.
“Jika Obama boleh, saya juga boleh,” katanya. - AFP
No comments:
Post a Comment