PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini semalam menolak permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan terhadap Raja Petra Kamarudin atas tuduhan menerbit artikel berunsur hasutan dalam laman blog Malaysia Today dengan memasukkan dua butiran baru iaitu alamat laman web itu dan tajuk artikel.
Hakim Rozina Ayob menolak permohonan Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohamad Yusuf dan bersetuju dengan pihak pembelaan yang mendakwa pindaan itu tidak selaras Seksyen 158 Kanun Acara Jenayah dan prejudis terhadap peguam bela.
Raja Petra yang diwakili Gobind Singh Deo, berkata Seksyen 158 Kanun Acara Jenayah membenarkan mahkamah mengubah atau menambah pertuduhan tetapi tidak boleh menggantikannya seperti yang dimohon pihak pendakwaan.
Terdahulu, Ishak memohon kebenaran mahkamah meminda pertuduhan asal dengan mengemukakan Lampiran A bagi memasukkan dua butiran baru iaitu alamat laman web www.malaysia-today.net dan tajuk artikel Let's Send Altantuya Murderers To Hell.
Ishak berkata, tujuan pindaan adalah untuk memastikan tertuduh memahami pertuduhan dengan lebih jelas, dan soal prejudis tidak timbul.
Pada 6 Mei lalu, Raja Petra, 58, tidak mengaku salah terhadap tuduhan menerbitkan artikel bertajuk Let's Send The Altantuya Murderers To Hell dalam laman web www.malaysia-today.net pada 25 April lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 di rumahnya di No 5, Jalan BRP 5/5, Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh. Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara tiga tahun.
Semalam, pihak pendakwaan mengemukakan saksi keenam dan ketujuh iaitu, Penganalisa Digital Forensik, S Sivanathan, 28, dan Asisten Superintendan Bahagian Siasatan Forensik Komputer Polis Diraja Malaysia, Asisten Superintendan Wa'ie Isqal Kria Abdullah, 38.
Kedua-duanya disoal berdasarkan Laporan Unit Siasatan Forensik Komputer Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM yang disediakan saksi ketujuh.
Sivanathan memberitahu mahkamah unit pemprosesan pusat (CPU) dan komputer riba yang dirampas polis sememangnya diakses oleh Raja Petra untuk menerbitkan artikel berkenaan.
"Berdasarkan pengetahuan dan pengalaman saya, tanpa kata laluan dan kata kunci tiada siapa yang boleh mengakses laman web berkenaan," katanya.
Perbicaraan bersambung hari ini dengan saksi ketujuh meneruskan keterangan. - Bharian
No comments:
Post a Comment