SEREMBAN: Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail mendakwa pergaduhan dan kekecohan pada mesyuarat bahagian itu, kelmarin dirancang dan didalangi Naib Ketua bahagian itu, Mohd Nor Awang.
Beliau yang kesal dan sedih dengan kejadian itu mendakwa, Mohd Nor merancang insiden itu dengan matlamat mesyuarat itu ditang-guhkan bagi membolehkannya membuat rayuan terhadap keputusan Majlis Tertinggi (MT) yang melarangnya bertanding jawatan ketua bahagian kerana didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah politik.
"Saya mempunyai bukti mengenai komplot itu kerana semasa mesyuarat semalam (kelmarin), saya memasang empat kamera video di dalam dewan bagi memantau dan merakam perjalanan mesyuarat," katanya di sini semalam.
Sementara itu, Mohd Nor, menafikan menjadi dalang kejadian itu, sebaliknya tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada rasa tidak puas hati pemimpin akar umbi terhadap pemimpin tertinggi bahagian.
"Keputusan pemimpin bahagian tidak mengiktiraf mesyuarat beberapa cawangan walaupun tidak menyalahi peraturan mungkin punca kejadian itu. Saya akan mengutus surat kepada Ibu Pejabat Umno secepat mungkin mengenai kedudukan sebenar kejadian itu," katanya.
Mesyuarat yang berlangsung di Kelab Golf Tuanku Ja'afar, Senawang itu terpaksa ditangguhkan selepas berlaku pergaduhan yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi sebaik Ishak selesai berucap apabila Ketua Umno Cawangan Sikamat, Datuk Md Yusof Harmain Shah bangun memohon penjelasan sama ada mesyuarat itu wajar diteruskan berikutan kekeliruan berhubung status beberapa cawangan.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, menyokong keputusan Ibu Pejabat Umno untuk menghantar pasukan bagi mengambil alih mesyuarat Umno Bahagian Seremban yang ditangguhkan.
Katanya, keputusan itu langkah terbaik bagi memastikan mesyuarat yang diadakan semula nanti berjalan lancar sekali gus mengelak insiden sama berulang yang boleh menjejaskan imej dan maruah parti.
Mohamad mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa Ibu Pejabat Umno akan menghantar pasukan bagi mengambil alih mesyuarat itu selepas mendapati Badan Perhubungan Umno negeri dan Umno Bahagian Seremban saling tidak mempercayai antara satu sama lain.
Ditanya kenyataan Tengku Adnan itu, Mohamad menyifatkan ia bersifat peribadi dan tidak adil untuk membuat tanggapan sedemikian.
"Saya tidak pernah ada masalah dengan bahagian Seremban," katanya. - Bharian
No comments:
Post a Comment