25 November 2008

'Perbuatan saya satu dosa besar'

KUALA LUMPUR: "Perbuatan saya adalah satu dosa besar yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila..." kata bekas Pengurus Pos Malaysia Bhd, Zaharah Jaafar yang didakwa melakukan pecah amanah RM95,500, dalam rayuannya sambil menangis teresak-esak di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Zaharah, 45, yang menderita kanser rahim turut mengakui dia benar-benar bertaubat dan insaf terhadap kesalahan yang dilakukannya, malah menyesal dengan tindakan bodoh yang memakan diri sendiri.

"Bukan ini yang saya inginkan dalam kehidupan ini. Saya sudah banyak menyusahkan keluarga saya terutama menghancurkan impian dan cita-cita anak bongsu saya selepas dia terpaksa tinggalkan pengajiannya kerana bekerja bagi menampung keluarga," katanya.

Pada 20 Ogos lalu, Zaharah didakwa di mahkamah sama atas tuduhan melakukan pecah amanah wang hasil kutipan harian Pejabat Pos Putrajaya berjumlah RM95,500.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pos Putrajaya, Aras 1 Blok B1, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, pada 18 Mei 2006.

Hakim S M Komathy Suppiah kemudian menangguhkan hukuman terhadap Zaharah dan mengarahkan supaya peguam bela, Hasnan Hamzah mengemukakan laporan kesihatan tertuduh selain memanggil doktor berkaitan sebelum menjatuhkan hukuman.

"Saya perlu mengetahui tahap kesihatan tertuduh dan saya juga ingin melihat sendiri laporan kesihatannya jika pembelaan mahukan hukuman ringan," katanya.

Hasnan juga memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya dibebaskan dengan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah.

Timbalan Pendakwa Raya Aqeeb Lizalman Nordin Zamery tidak bersetuju tertuduh dibebaskan dengan bon berkelakuan baik.

Beliau berkata, perbuatan anak guamnya itu disebabkan terdesak berikutan terpaksa melangsaikan hutang berjumlah RM38,000 yang dipinjam daripada along bagi membiayai kos rawatan lanjutan penyakitnya setiap bulan.

"Saya diberitahu bahawa tertuduh perlu membayar kepada along RM3,800 setiap minggu malah terpaksa mengeluarkan semua wang simpanannya berjumlah RM15,000 untuk membayar pinjaman itu.

"Bukan saja terpaksa menderita penyakit kanser, anak guam saya juga pernah dikejar along dan dipukul dengan topi keledar kerana tidak mampu menjelaskan hutang mengikut masa ditetapkan," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Disember ini bagi membolehkan laporan kesihatan dikemukakan ke mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan.

Zaharah sebelum ini dibebaskan dengan bon jaminan peribadi RM10,000 dengan seorang penjamin. - Bharian

No comments:

Post a Comment