23 November 2008

Ka Chuan nafi hantar surat letak jawatan

PETALING JAYA 22 Nov. - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan menafikan pernah menghantar surat peletakan jawatan menteri kepada Datuk Seri Ong Tee Keat bagi membolehkan Presiden MCA itu mencadangkan pengganti bagi jawatan tersebut.

Katanya, sebarang keputusan mengenai peletakan jawatannya akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas berbincang dengan Tee Keat.

''Ini (jawatan Menteri) adalah kuota yang sudah ditetapkan dan hanya Presiden boleh membuat sebarang keputusan mengenainya.

''Saya tertakluk kepada prinsip parti, jika diminta teruskan, saya sambung, tetapi andai disuruh meletak jawatan, saya akan lepaskan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis penyampaian barangan keperluan sekolah untuk 5,000 murid yang memerlukan bantuan (Educare 2008) di sini hari ini.

Ka Chuan mengulas laporan bahawa beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan menteri kepada Tee Keat kelmarin bagi membolehkannya mencadangkan pengganti bagi jawatan itu.

Ka Chuan berkata, sebarang rombakan yang mungkin akan terjadi dalam MCA adalah di luar bidang kuasanya.

Katanya, persoalan prinsip tidak seharusnya dipertikaikan lagi kerana urusan mengisi kekosongan jawatan itu, jika ada, tertakluk sepenuhnya kepada perbincangan Presiden MCA dengan Perdana Menteri.

''Ini prinsip yang sudah lama diamalkan setiap parti komponen sekiranya ada sebarang kekosongan, rombakan hanya boleh dilakukan setelah Presiden berjumpa dengan Perdana Menteri," ujarnya.

Ka Chuan menegaskan, beliau telah membuat keputusan untuk menyerahkan kepada Tee Keat bagi menentukan apa yang paling baik untuk parti dan masyarakat.

Program yang dianjurkan Persatuan Siri Jayanti dan Yayasan Maha Karuna dengan kerjasama Parkson Corporation Sdn. Bhd. (Parkson) itu merupakan projek bantuan berkonsep barangan sekolah yang didermakan orang ramai kepada murid-murid yang memerlukan kelengkapan pembelajaran.

Parkson sendiri menyediakan 32 cawangan pusat beli-belah untuk memudahkan rakyat negara ini berbelanja dan dalam masa yang sama menderma.

Turut hadir ialah Pengurus Besar Parkson, Gui Cheng Hock, Presiden Persatuan Siri Jayanti, Mervyn Weerasena dan Ketua Sami Tokong Buddha Sri Langka, Reverend B. Saranankara Thero. - Utusan

No comments:

Post a Comment