23 November 2008

Felda Beli Tiga Tingkat Daripada 20 Tingkat Bangunan Hotel Di Mekah

IPOH, 22 Nov (Bernama) -- Pengerusi Kumpulan Felda Tan Sri Dr Mohd Yusoff Noor hari ini berkata Felda telah membeli tiga tingkat dari sebuah bangunan hotel 20 tingkat di Mekah, Arab Saudi, bagi kemudahan rakyat Malaysia ketika mengerjakan haji dan umrah.

"Kita membeli bilik-bilik dalam hotel, kita buat setakat kemampuan kita. Jadi yang pentingnya kepuasan pelanggan, kita tak boleh nak jadi pemain yang sama dengan pemain industri yang lain.

"Kita pilih bidang-bidang yang sesuai dan tempat yang sesuai sebagai simbol bantuan kita kepada industri yang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Hotel & Spa Felda Residence Hot Springs, Sungai Klah oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Hasan Malek di Sungkai dekat sini hari ini.

Beliau berkata walaupun hanya tiga tingkat namun pelaburan itu memberi pulangan yang tinggi kepada Felda berdasarkan kadar sewaan setiap bilik hotel yang mencecah RM5,000 sehari ketika ini.

Katanya pelaburan itu juga akan membolehkan pelbagai produk daripada Felda dipromosikan di Mekah melalui ruang-ruang pameran yang boleh diwujudkan di kawasan tiga tingkat bangunan hotel itu.

Ketika diminta mengulas perancangan seterusnya selepas Mekah, Mohd Yusoff berkata ketika ini Felda tidak mempunyai perancangan untuk melaksanakan pelaburan serupa di tempat-tempat lain.

Media sebelum ini melaporkan Felda melabur sebanyak RM200 juta bagi pembinaan sebuah hotel dan sebuah restoran di Mekah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment