HULU TERENGGANU - Wanita berusia 106 tahun, Wook Kundur sedia membenarkan suaminya, Mohd. Nor Musa, 37, berkahwin dengan gadis yang lebih muda.
Bagaimanapun, dia mengenakan syarat yang suami dan madunya itu perlu menjaga dirinya dengan baik dan tidak mengabaikannya.
"Saya izinkan kalau dia nak kahwin lagi. Saya tak kisah bermadu walaupun dengan perempuan yang muda.
"Saya faham Mohd. Nor tentu ada keinginan untuk hidup dan ada isteri yang muda dan cantik. Cuma janganlah bila dah dapat yang baru yang lama ni dilupakan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, sini, semalam.
Kosmo! baru-baru ini menyiarkan kisah Wook dan Mohd. Nor yang hidup bahagia sebagai suami isteri walaupun dipisahkan dengan jarak usia 69 tahun.
Pasangan itu berkahwin kira-kira tiga tahun lalu selepas Wook mencadangkan perkara itu selepas Mohd. Nor yang menyewa di rumahnya banyak membantu kehidupan seharian wanita itu.
Mengulas mengenai 'lampu hijau' yang diberikan isterinya, Mohd. Nor mengakui dia memang mempunyai keinginan untuk berkahwin lagi. - Kosmo
No comments:
Post a Comment