28 November 2008

Rakyat Malaysia hilang di Mumbai

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia Hema Kasipillay dilaporkan hilang selepas hotel yang didiaminya di Mumbai diserang oleh sekumpulan pengganas.

Anak saudara Hema, Mohan Thangaraja, dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai gagal menghubunginya.

Semalam, Konsul Jeneral Wan Zaidi Wan Abdullah berkata Hema, 53, yang mengikuti rombongan perniagaan ke bandar itu menginap di Hotel Taj Mahal, salah sebuah daripada dua hotel yang diserang pengganas pada Rabu lalu.

“Saya menghubungi pihak pengurusan dan mereka mengesahkan Hema belum meninggalkan hotel.

“Dia bersama dua orang rakan kerjanya dari Jerman yang dipindahkan tetapi mereka belum dapat mengesannya,” kata Wan Zaidi.

Wan Zaidi berkata konsulat telah memeriksa di hotel-hotel lain dan berdekatan hospital-hospital untuk berusaha mencari Hema, dari Bangsar, Kuala Lumpur.

Mohan berkata ibu saudaranya, pegawai pentadbiran di firma insurans Jerman, tiba di Mumbai pada Selasa lalu.

Dia berkata keluarganya tidak dapat menghubungi Hema melalui telefon bimbitnya. Suami dan dua anak Hema bagaimanapun enggan untuk ditemubual.

“Kami tidak mempunyai apa-apa maklumat. Kami telah memberikan maklumat lengkap kepada konsulat. Kami semua berasa sedih,” katanya.

Wan Zaidi berkata dia berurusan dengan rakan sekerja Hema dari Jerman yang memberitahu mereka kali terakhir mereka berbual dengannya kira-kira pukul 3 pagi semalam waktu tempatan sebelum before pihak berkuasa India menjalankan satu operasi menyelamat.

“Kali terakhir mereka melihat Hema ketika waktu petang dan mereka masih menghubungi antara satu sama lain semasa serangan berlaku.

“Tetapi apabila operasi menyelamat dijalankan, komunikasi terputus dan mereka gagal menghubunginya semula,” ujarnya.

Dua orang rakyat Malaysia yang tinggal di Mumbai turut menghantar emel kepada The Star Online mengenai keadaan di ibu negara komersial.

Lawrence Ngadan Mani, yang bekerja dengan syarikat minyak di Mumbai, berkata banyak sekolah dan pusat membeli-belah ditutup seketika.

“Hingga pagi ini, kita masih boleh melihat asap di hotel tersebut. Rakyat tempatan memberitahu saya selama Hotel Taj beroperasi lebih 100 tahun lalu, hal seperti ini belum pernah berlaku.”

Sementara itu, Vivegan Nadarajai, yang berada di negara itu sejak 16 November lalu, berkata dia tinggal di hotel kira-kira 20km bebas dari kawasan pengepungan.

“Keadaan di sini adalah tenang. Kami telah dinasihatkan supaya tidak keluar jauh dari hotel kami hingga keadaan kembali tenang dan sentiasa mengikuti berita semasa,” katanya.

Dalam pada itu, keselamatan di New Delhi, telah ditingkatkan dengan kehadiran lebih banyak polis dan tentera di kawasan awam, lapor NELSON BENJAMIN.

Keselamatan telah disediakan pada semua stesen kereta api, terminal bas dan pawagam.

Keselamatan turut ditingkatkan di kebanyakan hotel lima bintang dengan menyediakan ramai pengawal keselamatan bersama pengesan-pengesan logam dan memeriksa kewujudan semua pengunjung.

Semua pelancongan untuk bangunan-bangunan kerajaan di bandar raya itu juga telah dibatalkan.

Dalam pada itu, wartawan Bernama dari New Delhi melaporkan tidak ada tanda-tanda menunjukkan krisis tebusan berakhir pagi Jumaat di mercu tanda Mumbai, Taj Mahal Palace Hotel, walaupun percubaan diteruskan oleh pasukan keselamatan India untuk membanteras saki-baki pengganas.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, setakat ini sekurang-kurangnya 125 orang terkorban dan 327 cedera termasuk enam rakyat asing, apabila kumpulan pengganas melancarkan serangan yang penuh terancang di beberapa kawasan hub kewangan India pada malam Rabu.

Sehingga awal pagi Jumaat, sekurang-kurangnya tiga pengganas terbunuh di hotel berusia berabad itu sementara tiga orang yang menginap di hotel tersebut yang terkandas dapat diselamatkan.

"Kejadian tembakan berlaku sekejap-kejap antara militan dalam hotel dan askar di luar sejak pukul 4 petang (waktu tempatan). Keseluruhan bandar raya tersebut dikejutkan dengan pembunuhan itu, ini tragedi yang dahsyat untuk Mumbai," kata pemilik sebuah kedai komputer berusia dalam lingkungan pertengahan tahun memberitahu Bernama.

Menggelarkan dirinya sebagai Mujahideen Deccan, telah menghantar emel kepada pertubuhan media mendakwa melancarkan serangan itu, antara tragedi yang terburuk di India sejak 1993.

Pegawai kementerian itu mendakwa militan melancarkan serangan mereka dari laut, di mana sebuah kapal induk yang dipercayai membekalkan senjata dan suspek tiba melalui laluan laut pantai.

Pihak berkuasa kini memeriksa kapal tersebut di sepanjang pantai Mumbai.

Di Oberoi Hotel dan Nariman House, sebuah kompleks perumahan, anggota komando meneruskan operasi untuk melumpuhkan pengganas yang bersembunyi di dalam bangunan dan lebih 30 orang tebusan diselamatkan, menurut sebuah stesen televisyen tempatan.

Pegawai keselamatan dijangka melancarkan serangan terakhir di tiga kawasan selatan ibu negara itu lewat Jumaat untuk menamatkan krisis tebusan yang telah melumpuhkan Mumbai.

Setakat ini tidak ada rakyat Malaysia terperangkap pada kejadian itu.

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Perdana Menteri India, Manmohan Singh berkata, serangan di Mumbai yang mengorbankan lebih 100 nyawa telah dirancang dengan baik dan kemungkinan besar mempunyai "kaitan dengan pihak luar".

Singh bercakap sebagai saksi dalam modal kewangan India berkata, berlaku tembak menembak antara komando-komando India dengan mereka yang disyaki militan Islam dalam Hotel Taj dan berdekatan Hotel Trident-Oberoi, di mana ramai yang terperangkap dan beberapa ditahan sebagai tebusan.

Komando-komando juga berkumpul di luar pusat Yahudi di mana seorang rabai dikhuatiri turut menjadi tebusan, tetapi kemudian dilihat memutuskan untuk tidak menyerang.

"Serangan-serangan yang dirancang dengan baik, kemungkinan besar ada hubungan dengan pihak luar, bertujuan untuk mewujudkan keganasan dengan memilih sasaran berprofil tinggi," katanya ketika bercakap kepada rakyat India yang disiarkan di saluran-saluran TV.

Beliau berkata, New Delhi amat yakin bahawa wilayah-wilayah negara jiran digunakan untuk melancarkan serangan ke atas India.

Kerajaan India sebelum ini pernah menyalahkan Pakistan dan kadangkala Bangladesh kerana menyokong atau memberi kebenaran berlabuh kepada kumpulan-kumpulan militan yang melakukan serangan-serangan ini.

"Terdapat bukti yang menunjukkan kumpulan tersebut yang melakukan serangan ini luar daripada negara, yang telah datang dengan penuh keazaman bagi mewujudkan huru-hara dalam ibu negara komersial," kata Singh.

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Komando India berjaya membebaskan tebusan-tebusan di Hotel Taj Mahal hari ini, tetapi pertempuran masih berlaku dengan kumpulan militan Islam bersenjata yang setakat ini telah membunuh lebih 100 orang.

Kumpulan pengganas itu dilaporkan tiba di Mumbai dengan bot dua hari lalu, sebelum menyerang hotel-hotel mewah, sebuah restoran popular, hospital dan stesen keretapi.

Tujuh belas jam selepas serangan tersebut, tentera dan kumpulan militan masih lagi meneruskan pertempuran dimana lebih 100 orang terperangkap di dalam bilik-bilik hotel terbabit.

"Mereka yang ditahan di sana telah pun berjaya diselamatkan. Tetapi masih ramai lagi yang berada di dalam bilik-bilik hotel itu...kita tidak tahu berapa ramai," kata Ketua Polis Maharashtra, A.N.Roy kepada saluran berita NDTV.

Kata Roy, walaubagaimanapun tebusan di Hotel Trident/Oberoi masih lagi belum dapat diselamatkan.

"Sebab itu kita perlu melakukan operasi ini dengan berhati-hati supaya tiada nyawa yang terkorban," katanya.

Polis berkata, sekurang-kurangnya enam warga asing terbunuh dan 287 orang lagi cedera di dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka Deccan Mujahideen.

"Bebaskan semua mujahideen, dan semua Muslim di India tidak akan berhadapan masalah," kata seorang ahli militan di dalam Hotel Oberoi yang bercakap dengan sebuah televisyen India menerusi telefon.

Lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Sahadullah berkata, dia adalah salah seorang daripada tujuh penyerang di hotel tersebut dan mahu agar militan Islam dibebaskan dari penjara India.

Ledakan kemudiannya didengar di hotel tersebut, kata saksi.

Dua orang pengunjung hotel tersebut yang terperangkap di dalam hotel masing-masing turut menghubungi beberapa stesen televisyen. Seorang daripadanya berkata pintu kecemasan terkunci dan seorang lagi berkata dia melihat dua mayat di tepi kolam hotel terbabit.

Menurut saksi, penyerang berkemungkinan mensasarkan kepada warga Britain dan Amerika di hotel dan restoran terbabit.

Alex Chamberlain, warga Britain yang sedang menjamu selera di Oberoi ketika kejadian memberitahu saluran berita Sky News bahawa kumpulan bersenjatan itu telah membawa 30 hingga 40 orang yang berada di resotran itu ke tingkat atas dan mengarahkan semua mengangkat tangan ke atas di dalam bahasa Hindi atau Urdu.

Chamber lain berkata, dia berjaya melarikan diri semasa pengunjung restoran yang lain dipaksa ke tingkat atas.

Motif serangan tersebut belum dapat dikenal pasti, namun Mumbai sebelum ini juga pernah menjadi sasaran serangan pengganas dan mendakwa ia dilakukan oleh militan-militan Islam, termasuklah siri pengeboman pada Julai 2006 yang membunuh 187 orang.

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Sekurang-kurangnya 86 orang terbunuh di dalam serangan oleh kumpulan bersenjata di pusat perdagangan India, di sini, malam tadi manakala pasukan keselamatan telah bertindak untuk mengepung dua buah hotel mewah dimana tebusan asing ditahan oleh penyerang.

Menurut laporan Reuters, kumpulan bersenjata itu melakukan serangan menggunakan bom tangan dan senjata automotik ke atas dua buah hotel dan beberapa lokasi lain di bandar tersebut termasuklah di Kashmir.

Polis telah menembak mati empat lelaki bersenjata dan setakat ini telah menahan sembilan suspek manakala 12 anggota polis turut terbunuh termasuklah Ketua Polis Skuad Anti-Keganasan Mumbai, Hemant Karkare.

"Keadaaan di sini masih tegang dan kami masih lagi sedang mengesan pengganas-pengganas lain yang sedang bersembunyi di dalam dua buah hotel tersebut," kata Ketua Menteri Maharashta, Vilasrao Deshmukh.

Deshmukh di dalam sebuah sidang media berkata, keadaan di situ masih lagi belum dapat dikawal.

"Sukar untuk berkata berapa ramai pengganas berada di dua hotel itu," tambahnya, walaupun Menteri Dalam Negeri, Shivraj Patil berkata kira-kira empat hingga lima orang pengganas berada di setiap hotel terbabit.

Kementerian Luar negara Jepun berkata, sekurang-kurangnya seorang warga Jepun turut terbunuh dan seorang tercedera di dalam serangan itu manakala Korea Selatan pula melaporkan 26 mangsa serangan berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, menurut laporan Bernama, seorang rakyat Singapura adalah antara beberapa tebusan warga asing yang turut ditahan.

Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa India bagi membebaskan tebusan rakyat Singapura itu bersama tebusan-tebusan lain.

Dalam kenyataan yang sama, kementerian itu berkata kerajaan Singapura mengutuk keras serangan itu.

"Serangan di Mumbai mengesahkan lagi ancaman pengganas yang sedang dihadapi semalam. Singapura berdiri kukuh di belakang kerajaan India dalam peperangannya menentang keganasan," menurut kenyataan itu.

Tambahnya kerajaan Singapura turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa, keluarga mereka, kerajaan India dan rakyatnya terhadap kejadian itu.

Menurut saksi, tembakan pistol dan letupan telah didengar di Hotel Taj Mahal dan turut diselubungi asap tebal.

Letupan juga turut berlaku di Hotel Oberoi dan tembakan di sebuah hospital.

"Pengganas melempar bom tangan ke arah kami dari atas bumbung Hotel Taj dan cuba menghalang kami untuk masuk," kata Inspektor Ashok Patil.

Menurut polis, sekurang-kurangnya 250 orang tercedera di dalam serangan itu yang mana turut mensasarkan stesen keretapi dan Cafe Leopold, sebuah restoran terkenal dan menjadi tumpuan pelancong.

Sebuah stesen televisyen turut melaporkan bahawa sebuah organisasi yang menggelarkan diri mereka Deccan Mujahideen dikatakan menjadi dalang serangan tersebut.

"Merka ada bom. Saya rasa mereka sasarkan kepada orang asing kerana mereka meminta pasport rakyat British dan Amerika," kata Rakesh Patel, saksi warga Britain yang tinggal di Hong Kong dan menetap di Hotel Taj Mahal atas urusan perniagaan.

"Mereka ada bom. Anak muda, mungkin dalam usia 20 hingga 25 tahun dan mempunyai dua pucuk pistol. Mereka muncul dari restoran dan bawa kami ke tingkat atas," katanya yang dipenuhi kesan kotoran asap di muka ketika ditembual NDTV News. - Mstar

No comments:

Post a Comment