11 November 2008

Bekas menteri berdepan tindakan disiplin parti berikutan surat terbuka isu ISA

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim diberikan tempoh sehingga Sabtu ini bagi menjawab surat tunjuk sebab berikutan tindakannya menulis surat terbuka serta menemui beberapa Ahli Parlimen pembangkang bagi membincangkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata Zaid berhadapan tindakan disiplin yang tegas termasuk kemungkinan digantung atau dipecat daripada parti berikutan tindakannya yang bertentangan prinsip dan amalan parti.

"Umno kecewa dengan tindakan Zaid kebelakangan ini yang seolah-olah mencabar parti. Ini menimbulkan persoalan sama ada dia menyokong kita (Umno) atau mewakili pembangkang.

"Bagaimanapun, Umno adalah parti yang adil kerana kita beri peluang kepada beliau menjawab surat itu terlebih dulu. Tindakan tegas termasuk kemungkinan digantung atau dipecat akan ditentukan pengurusan parti sebaik menerima maklum balasnya," katanya semalam.

Sementara itu, Zaid yang mengadakan sidang media di pejabatnya semalam mengesahkan beliau sudah menerima surat itu beberapa minggu lalu.

"Umno berpendapat tindakan saya menulis surat terbuka sebagai tidak menghormati parti di samping mengatakan saya melanggar beberapa peraturan parti.

"Parti juga melahirkan kekesalan atas tindakan saya mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen daripada Pakatan Rakyat di Parlimen ketika masih lagi bergelar Senator bagi membincangkan isu ISA.

"Umno berpendirian sebagai seorang ahli parti, saya tidak sepatutnya melakukan perkara berkenaan. Bagaimanapun, saya tidak peduli dengan surat tunjuk sebab itu dan akan menyerahkan perkara ini kepada peguam untuk menyelesaikannya," katanya.

Zaid berkata, tindakannya menemui beberapa Ahli Parlimen pembangkang adalah bagi menyatakan sokongan terhadap isu pemansuhan ISA semata-mata dan bukan untuk menyokong sama ada Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pas mahu pun Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya bukannya tidak setia kepada parti tetapi beberapa tindakan dan pandangan yang dikemukakan nampaknya tidak dapat diterima pihak tertentu menyebabkan saya berhadapan banyak kesukaran," katanya.

Ditanya sama ada beliau menerima surat tunjuk sebab berikutan ucapannya pada Persidangan LawAsia baru-baru ini yang menyentuh mengenai Ketuanan Melayu, Zaid berkata, beliau mungkin dikenakan tindakan berdasarkan beberapa laporan akhbar yang dibacanya.

"Bagaimanapun, saya akan terus bercakap apa yang saya rasakan betul, jadi mungkin kerana ini masa depan saya dalam politik akan menjadi kelam.

"Bagaimanapun, bukanlah menjadi perkara penting kepada saya sama ada kekal atau terpaksa meninggalkan Umno atau jika terpaksa berhadapan beberapa surat tunjuk sebab lagi selepas ini apabila menyatakan pendapat saya," katanya.

Ditanya perancangan masa depannya, Zaid berkata, beliau akan terus menyumbang dengan caranya sendiri bagi memastikan hubungan kaum, demokrasi serta sistem keadilan negara ditegakkan.

"Mungkin lebih baik saya terus bercakap isu berkenaan atas platform bebas. Ini kerana jika menyertai parti politik, seseorang terikat dengan peraturan dan perlu berkompromi terhadap sesetengah perkara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zaid turut mengkritik keputusan kerajaan yang mendedahkan jumlah pembayaran ex-gratia RM10.5 juta kepada enam hakim yang terbabit dalam krisis badan kehakiman 1998 seperti diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di Parlimen, minggu lalu.

"Sebelum ini, Perdana Menteri dan saya sebagai menteri yang menjaga hal ehwal perundangan sudah bersetuju tidak mendedahkan jumlah sebenar nilai ex-gratia itu.

"Saya berpendapat langkah kerajaan mendedahkannya hanya akan mengundang lebih banyak persoalan di samping menyebabkan penerima pampasan dipandang serong oleh masyarakat," katanya. - Bharian

No comments:

Post a Comment