KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, meminta masyarakat Islam di negeri itu termasuk ahli Umno supaya tidak membiarkan Pas menjadikan masjid sebagai wadah politik akar umbi dengan mengambil alih teraju pengurusan masjid.
Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah merangkap Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya berkata, beliau dimaklumkan bahawa Pas, parti dalam kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah negeri itu, sudah menghantar wakil mereka untuk menyelinap masuk dalam pengurusan masjid yang akan mula bermesyuarat awal bulan depan.
Katanya, Pas sudah menghantar wakil mereka untuk mengambil alih jawatan nazir dan ahli jawatankuasa kuasa pengurusan masjid di seluruh Selangor yang dilihat akan menjadi wadah terbaik untuk menyebarkan agenda politik mereka kepada akar umbi dengan berselindung di sebalik pelbagai ceramah agama yang kerap kali diadakan di masjid.
"Ini adalah antara persediaan diatur PR untuk terus menguasai Selangor dan pelbagai negeri lain yang sudah jatuh kepada mereka pada pilihan raya umum pada 2012. Umno juga perlu bersedia menghadapi taktik sebegitu dengan memastikan masjid dan institusi agama tidak disalah guna pembangkang sebagai medan politik," katanya ketika ditemui selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kelana Jaya, kelmarin.
Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam usaha PR memastikan calon yang cenderung kepada mereka menguasai jawatankuasa masjid, hanya kariah masjid yang dibuktikan menerusi alamat tempat tinggal yang sah saja dibenarkan hadir untuk bertanding atau mengundi dalam mesyuarat agung.
"Kita lihat ini sebagai antara cabaran besar kepada Umno terutama ahli akar umbi yang akan sentiasa terdedah kepada propaganda pembangkang. Jika kita tidak bendung, gejala ini berbahaya kepada Umno," katanya.
Sehubungan itu, katanya, semua ketua cawangan Umno diminta lebih proaktif dengan hadir pada mesyuarat agung masjid bagi memastikan calon yang dipilih sebagai ahli jawatankuasa bebas daripada kecenderungan politik melampau terutama kepada Pas. - Bharian
No comments:
Post a Comment