PEKAN, 8 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata anggota Umno yang terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti Mac tahun depan sepatutnya tidak diberi tempat dalam kepimpinan parti.
Sambil berharap anggota UMNO memilih pemimpin yang bersih untuk mengangkat perjuangan parti bangsa Melayu itu ke peringkat yang lebih tinggi lagi, Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu berkata jika mereka yang terbabit dalam mainan politik wang tetap diberikan tempat, akhirnya ia akan merosakkan kredibiliti Umno itu sendiri.
"Ia akan menjejaskan parti Umno dari dua segi, satu dari segi imej parti kepada orang luar, bermakna mereka akan lihat proses pemilihan dalam parti kita ini tidak bersih, kedua, akan menyebabkan pemimpin yang tidak sepatutnya diangkat untuk sesuatu jawatan itu terpilih kerana sokongannya berdasarkan mainan politik wang, mungkin kita akan mempunyai barisan pemimpin yang tidak dapat mengangkat perjuangan Umno yang lebih tinggi lagi dan merosakkan kredibiliti Umno kerana (mempunyai) pemimpin itu kurang kredibel," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan mesyurat Umno bahagian Pekan di sini.
Ketika diminta mengulas laporan mengenai politik wang pada pemilihan Umno kali ini yang disifatkan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail sebagai paling serius, Najib berkata;
"Saya sedar bukan mudah, untuk melakukan itu (tanganinya) itu sukar, namun bukan bererti usaha kita tidak boleh dan patut kita hentikan, kita perlu perhebatkan.
"Kita hendak pemimpin yang kredibel dan berwibawa dalam parti sebab kita dinilai oleh rakyat teramai, rakyat jelata akan membuat penilaian dan perhitungan terhadap Umno melalui pemimpin yang diketengahkan Umno.
"Sepatutnya tidak ada tempat (bagi mereka yang terbabit politik wang) tapi akhirnya terpulang kepada ahli Umno sendiri untuk menyokong pemimpin yang bersih, dan juga bergantung kepada keberkesanan penguatkuasaan kita, seperti perangkap laju, ada yang terlepas, ada yang kena," katanya.
Mengulas lanjut isu itu, Najib berkata mereka yang membuat laporan mengenai politik wang juga mestilah mempunyai bukti yang kukuh bagi membolehkan tindakan dikenakan kepada mereka yang terbabit.
'Aduan itu banyak tapi kita jangan menganiaya sesiapa, kadang-kadang ada laporan palsu ataupun tidak tepat, untuk mengena mana-mana pemimpin dengan mengemukakan laporan politik wang, setiap laporan perlu ada kesahihan laporan tersebut," katanya.
Ditanya isu politik wang itu lebih bersifat "open secret", Najib berkata: "Sebab mereka yang sanggup buat laporan itu sikit berbanding mereka yang menerima wang, (jadi) kita mesti ada bukti, dimana? Bila? Jumlahnya? Bukti wang? Walaupun ini bukan mahkamah tapi asas bukti itu mesti ada," katanya.
Ketika ditanya berhubung beberapa bahagian Umno yang dilaporkan menghadapi masalah tertentu ketika mengadakan mesyuarat bahagian, Najib berkata perkara itu akan diselesaikan dengan sebaik-baiknya.
"Kita minta perhubungan (negeri) selesaikan, kita ada ibu pejabat, kita ada Jawatankuasa Pengurusan untuk tentukan dasar, tafsiran kepada perlembagaan dan peraturan, ibu pejabat teliti dari segi fakta, dan perhubungan memantau, dan memberi maklumat tepat apa yang berlaku, ada peranan masing-masing (untuk tangani masalah yang timbul"," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment