08 November 2008

Mahathir: 6 hakim dibayar ex-gratia memang dipecat

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hakim-hakim yang terlibat dalam krisis Kehakiman 1988. yang menerima ex-gratia yang jumlahnya lebih RM10 juta, sebenarnya telah dipecat daripada perkhidmatan kehakiman.

Beliau berkata, rekod menunjukkan hakim-hakim berkenaan telah dipecat kira-kira dua dekad lalu.

"Adakah hakim-hakim terbabit dipecat atau digantung (perkhidmatan)? Saya merasakan mereka telah dipecat. Rekod menunjukkan begitu.

"Sekarang Menteri (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz) mengatakan "Tidak", hakim-hakim tidak dipecat atau tidak digantung," tulis beliau dalam blognya hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh juga mendakwa Nazri telah mengelirukan Parlimen bila beliau berkata hakim-hakim yang terlibat tidak dipecat tetapi diminta bersara awal.

Karpal berkata, beliau akan membawa usul mengemukakan Nazri di bawah Peraturan Tetap 36 (12) kerana mengelirukan Parlimen Isnin lalu dimana beliau kemudian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Istimewa untuk tindakan diambil.

Pengerusi DAP itu berkata. Nazri mesti menjelaskan mengapa beliau membuat kenyataan secara terbuka di Parlimen yang memberi tafsiran bahawa namanama hakim itu telah dibersihkan oleh tribunal, bertentangan dengan hasil siasatan dua buah tribunal berkenaan.

Karpal merujuk kepada Malayan Law Journal (MLJ) bertarikh 28 Oktober 1988 yang melaporkan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan hakimhakim Mahkamah Agung, Allahrayham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah dipecat dari jawatan selepas tribunal mendapati mereka bersalah kerana salah laku.

Mereka bagaimanapun, menerima pencen penuh.

Tiga hakim lain, Tan Sri Datuk Mohd Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh telah digantung tugas tetapi dikembalikan jawatan mereka.

Katanya, bagi mengembalikan penghormatan dan digniti hakim-hakim yang dipecat itu, kerajaan sepatutnya telah menubuhkan dua tribunal untuk membersihkan mereka dari tindakan yang telah diambil terhadap mereka dan bukan memberikan bayaran exgratia.

"Apa yang sepatutnya telah dilakukan ialah bukan membayar ex-gratia kepada hakim-hakim itu tetapi mengadakan sebuah lagi tribunal bagi membersihkan nama mereka.

"Ini masih boleh dilakukan. Membayar ex-gratia kepada mereka tidak membersihkan mereka daripada didapati bersalah kerana salah laku," kata beliau.

Karpal berkata, bayaran ex-gratia itu malahan bererti yang kerajaan berpendapat bahawa mereka (hakim-hakim itu) sebenarnya tidak bersalah.

Pada Khamis lalu, Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan membayar ex-gratia sebanyak RM10.5 juta kepada Mohd. Salleh dan lima lagi bekas hakim kanan.

Bayaran kepada Mohd Salleh melibatkan RM5 juta, Wan Suleiman (RM2 juta) dan George Edward juga RM2 juta.

Wan Hamzah, Eusoffe Abdolcadeer dan Azmi Kamaruddin pula masing-masing menerima bayaran berjumlah RM500,000. - Mstar

No comments:

Post a Comment