KUCHING 7 Nov. – Rang Undang- Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 yang bakal dibentangkan di Parlimen akan membawa kepada pembentukan sebuah badan pencegahan rasuah yang lebih berwibawa dan berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, suruhanjaya itu akan tertakluk kepada pemantauan luar melalui sistem semak dan imbang yang komprehensif.
“Segala usaha telah diambil untuk memastikan SPRM yang bakal diwujudkan benar-benar berkesan dan mampu memenuhi kehendak serta aspirasi rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Sambutan Hari Integriti Nasional dan Konvensyen Integriti Nasional 2008 yang bertemakan Integriti Pemangkin Pembangunan Mapan di sini.
Turut hadir dalam program itu ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
Katanya, suruhanjaya itu adalah berdasarkan kepada model agensi-agensi antirasuah yang diiktiraf sebagai antara yang terbaik di dunia, umpamanya Independent Commission On Anti-Corruption (ICAC) di Hong Kong dan Independent Commission Against Corruption di New South Wales, Australia.
Selain menggantikan Akta Pencegahan Rasuah 1997, SPRM juga akan membawa kepada pembentukan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR).
Berhubung dengan LPPR, Perdana Menteri memberitahu, ia akan dianggotai oleh individu-individu yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
Katanya, mereka akan terdiri daripada kalangan yang terpuji, berintegriti dan dipandang tinggi oleh masyarakat.
“Lembaga penasihat itu akan bertanggungjawab menasihati suruhanjaya terhadap perkara-perkara berkaitan dengan masalah rasuah di Malaysia.
“JKMR pula akan terdiri daripada kalangan Ahli-Ahli Parlimen untuk menerima dan meneliti laporan tahunan yang wajib dikemukakan oleh suruhanjaya,” jelas beliau.
Perdana Menteri menambah, Jemaah Menteri juga telah bersetuju dengan cadangan pembentukan dua panel lagi iaitu Panel Penilaian Operasi dan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah.
Abdullah menjelaskan, Jemaah Menteri turut menimbang supaya SPRM dibenarkan untuk mengendalikan urusan-urusan perkhidmatan, khususnya yang melibatkan proses lantikan dan penamatan perkhidmatan pegawainya.
Mengenai rasuah, beliau berkata, beberapa kajian dan pembancian mengenai isu tersebut baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa rakyat menyokong kuat agenda integriti serta anti-rasuah negara dan mahu melihat tindakan tegas dan pantas ke arah pemantapan institusi anti-rasuah serta kerangka perundangan yang berkaitan.
“Kita harus sedar bahawa proses membangunkan masyarakat berintegriti yang menolak budaya rasuah sebenarnya memakan masa yang lama.
“Lagipun pengalaman negara lain menunjukkan bahawa tindakan tegas untuk memerangi rasuah sering kali diiringi persepsi yang menurun sebelum ia menjadi bertambah baik,” jelas beliau.
Dalam hal ini, beliau mengucapkan terima kasih kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana telah menjalankan tugas mereka dengan baik tanpa rasa takut atau pilih kasih.
Menurut Abdullah, statistik terkini menunjukkan bahawa bilangan siasatan yang telah diadakan oleh BPR meningkat sebanyak dua kail ganda antara 2001 dan 2007 manakala bilangan tangkapan telah mencatatkan peningkatan sebanyak 54 peratus dalam tempoh yang sama.
“Lebih membanggakan, pemantapan dari segi penyiasatan dan pendakwaan telah membolehkan lebih banyak kes rasuah disabit kesalahan dan kini sabitan kesalahan telah meningkat kepada 78 peratus bagi tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 28 peratus dalam tempoh hanya lima tahun,” katanya.
Beliau berkata, integriti negara sedang bergerak dan semakin berjaya namun mungkin ia tidak sepantas yang diharapkan oleh rakyat dan ini seterusnya menyumbang kepada beberapa persepsi negatif.
“Kita harus sedar bahawa proses membangunkan masyarakat yang berintegriti, yang menolak budaya rasuah, sebenarnya memakan masa yang lama,” katanya sambil merujuk kepada pengalaman negara lain, yang menunjukkan bahawa tindakan tegas untuk memerangi rasuah sering kali diiringi oleh persepsi menurun sebelum ianya bertambah baik. - Utusan
No comments:
Post a Comment