29 November 2008

9 militan terbunuh, 5 Yahudi maut

MUMBAI 28 Nov. – Sembilan anggota militan terbunuh ketika pasukan komando khas India menggempur kumpulan bersenjata tersebut di beberapa lokasi di bandar raya ini hari ini.

Sementara itu, lima tebusan rakyat Israel terbunuh ketika komando India menggempur Pusat Pertubuhan Yahudi di sini bagi membebaskan antara 10 hingga 20 rakyat Israel yang ditahan di pusat tersebut.

Dalam serbuan di Hotel Oberoi/Trident, 24 mayat ditemui di hotel berkenaan.

Pasukan komando India berjaya menamatkan operasi menggempur kumpulan bersenjata di Hotel Oberoi di sini.

Dalam operasi di Pusat Pertubuhan Yahudi, komando India kelihatan turun dari helikopter menggunakan tali ke atas bangunan Pusat Pertubuhan Yahudi bagi menyelamatkan rakyat Israel yang ditahan di situ.

Setakat ini, 13 warga asing disahkan terbunuh dalam serangan militan itu termasuk tiga warga Jerman, empat warga Amerika Syarikat, dua warga Perancis dan masing-masing seorang warga warga Jepun, Kanada, Australia dan Singapura.

Jumlah warga asing yang cedera pula sebanyak 22 orang.

Pasukan keselamatan meneruskan operasi untuk memulihkan keadaan di Mumbai, dua hari selepas siri serangan militan kelmarin yang menyebabkan sekurang-kurangnya 143 orang maut dan hampir 300 lagi cedera.

Bunyi letupan dan tembakan senjata api terus kedengaran di hotel mewah Taj Mahal petang ini, sementara pegawai melaporkan, komando telah membunuh dua lelaki bersenjata di dalam Hotel Oberoi yang berdekatan dan menamatkan serangan di sana.

“Hotel Oberoi kini dalam kawalan kami dan 24 mayat ditemui di dalam sebuah bilik di hotel itu,” kata Ketua Pengarah unit komando elit Pengawal Keselamatan Negara India, J.K. Dutt.

Berpuluh-puluh orang termasuk seorang lelaki yang mendukung seorang bayi dipindahkan dari Hotel Oberoi awal hari ini.

Ketua Polis Mumbai, Hasan Ghafoor berkata, pertempuran masih berlaku di Hotel Taj Mahal antara komando dengan seorang lelaki bersenjata, manakala dua atau tiga penyerang terus bertahan di pusat pertubuhan Yahudi itu.

Lebih 143 orang terbunuh dan 288 lagi cedera apabila kumpulan militan menyerang 10 lokasi di bandar raya ini mulai malam semalam.

Pasukan keselamatan berkata, operasi mereka hampir selesai.


– Agensi

No comments:

Post a Comment