29 November 2008

Kenyataan Soi Lek biadab

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pewaris menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu sebagai kurang ajar dan biadab.

Timbalan Presidennya, Rahimuddin Md. Harun berkata, kenyataan itu boleh menimbulkan provokasi di kalangan bangsa Melayu dan bangsa lain di negara ini.

"Kenyataan berbaur perkauman itu tidak sepatutnya keluar dari mulut Sio Lek hanya semata-mata untuk menaikkan populariti beliau yang pernah mempunyai skandal seks dahulu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu yang disifatkan beliau sebagai tidak lagi relevan.

Rahimuddin berkata, sebagai bekas menteri, Soi Lek sepatutnya lebih faham akan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan orang Melayu dan bumiputera serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, umat Islam dan bangsa Melayu tidak akan berdiam diri lagi jika penghinaan terus dilakukan oleh kaum lain.

Beliau meminta agar isu perkauman tidak dijadikan bahan untuk perdebatan kerana keamanan dan keharmonian adalah amat penting.

"Ingin diingatkan di sini agar kita tidak mahu tragedi 13 Mei 1969 berulang lagi hanya kerana sifat dengki dan iri hati oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera," tegasnya. - utusan

1 comment:

  1. Rahimuddin pun tak tahu dalam Perlembagaan Persekutuan hanya mencatitkan hak istimewa melayu..tak ada sebut pun tentang ketuanan melayu...hehehe

    ReplyDelete