06 November 2008

3 penyamun kedai serbaneka ditahan

GEORGETOWN: Polis berjaya membanteras kegiatan samun membabitkan sebuah kedai serbaneka 24 jam di Pulau Tikus dalam tempoh 10 jam apabila menahan tiga lelaki di sini awal pagi, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, dua pekerja kedai 24 jam berusia 20-an mendakwa didatangi dua lelaki yang tidak dikenali.

Beliau berkata, salah seorang suspek kemudian bertindak meletakkan sebilah parang berukuran satu meter pada salah seorang mangsa dan mengarahkannya mengeluarkan wang dari mesin juruwang.

Katanya, suspek juga turut mengambil beberapa kotak rokok pelbagai jenama dan mendesak kedua-dua pekerja menyerahkan wang dan telefon bimbit mereka.

"Bagaimanapun, kedua-dua pekerja kedai itu memberitahu bahawa mereka tidak membawa wang atau telefon bimbit menyebabkan salah seorang suspek bertindak menghentak kepala mangsa dengan hulu parang.

"Pekerja kedai dilaporkan mengalami kecederaan dikepala dan ketika itu suspek ternampak sebuah kereta peronda polis melalui jalan berkenaan menyebabkan mereka bertempiaran lari," katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa kemudian membuat laporan polis kira-kira jam 6 pagi dan selang beberapa jam laporan itu dibuat polis akhirnya berjaya memberkas ketiga-tiga suspek berusia 20-an di Tanjong Tokong untuk siasatan lanjut. metro

No comments:

Post a Comment