KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada pengajaran subjek Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris diteruskan atau tidak, hanya akan dibuat selepas keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini dikeluarkan dan mengambil kira pandangan daripada semua pihak, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Dalam perbincangan di Parlimen, kita dapat dengar pendapat daripada kedua-dua belah pihak (pihak yang menyokong dan pihak yang tidak menyokong).
"Keputusan hanya akan dibuat selepas selesai analisis (keputusan UPSR), perbincangan meja bulat dan pandangan semua pihak berkepentingan diambil kira.
“Sebarang keputusan akan dibuat hanya selepas kajian terperinci dan perbincangan, kita tak mahu keputusan itu dipengaruhi emosi dan sentimen politik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Guru Cemerlang 2008 di sini hari ini.
Sementara itu, Hishammuddin juga berkata kerajaan sudah meluluskan pemangkuan secara Khas Untuk Penyandang (KUP) kepada 233 orang guru besar untuk Gred DG44.
Keputusan itu, katanya susulan daripada kelulusan cadangan yang dikemukakan wakil kesatuan dan persatuan guru yang memohon agar kenaikan pangkat guru besar siswazah daripada gred DG41 ke DG44 dipercepatkan.
"Ia satu sejarah baru dalam bidang pendidikan negara kerana mereka adalah kumpulan pertama guru besar berada dalam kumpulan DG44," katanya.
Mengulas cadangan Naib Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai untuk menghapuskan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam, Hishammuddin yang juga Ketua Pemuda Umno berkata cadangan itu tidak sesuai pada masanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment