Oleh Syafiq Sunny
TSUNAMI Politik tanah air yang melanda negara pada pada pilihanraya ke 12, Mac lalu memberikan petunjuk kepada para mahasiswa untuk turut melakukan perubahan sepanjang pilihanraya kampus yang kini telah tiba musimnya.
Ianya dibuktikan dengan beberapa kemenangan di dua Universiti yang dilihat sebagai sarang Aspirasi yang dikatakan pro kepada kerajaan, dan ianya dijangka akan turut membawa perubahan di beberapa universiti utama di Lembah Kelang.
Di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Pro Mahasiswa berjaya menawan lapan kerusi yang mana tiga daripadanya merupakan kerusi umum daripada 11 kerusi yang ditandingi.
Manakala di Universiti Malaysia Sarawak pula, kumpulan ini telah menang tujuh kerusi daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.
Menurut Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional, Norazali Zainuddin kejayaan di dua Universiti terbabit adalah satu permulaan yang baik bagi musim pilihanraya kali ini.
“UPSI dan beberapa universiti yang lain kita nampak ada perubahan. Dulu tak pernah menang, kali ini kita sudah ada kerusi,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Walaubagaimanapun, menurut Norazali, kemaraan tsunami politik ini akan terserlah sekiranya pilihanraya kampus diadakan serentak suluruh negara.
“Kita akan terselah dab ada impak yang lebih besar sekiranya ianya dilaksanakan seperti tahun lalu dimana ianya diadakan dengan serentak di seluruh negara termasuk juga universiti-universiti utama,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, walaubagaimanapun, kemenangan yang diperoleh di UPSI adalah untuk memberi signal kepada Pro-Mahasiswa daripada kampus yang lain supaya bekerja keras untuk memastikan kemenangan pilihanraya kali ini berpihak kepada kita.
“Kami yakin Pro Mahasiswa boleh menembusi universiti-universiti di Lembah Klang dan paling kurangpun kami mampu memberi saingan sengit kepada lawan,”jelasnya lagi.
Norazali turut mengingatkan kepada calon Pro-Mahasiswa yang telah menang dalam pilihanraya kampus baru-baru ini, bahawa kemenangan yang diberikan bukanlah untuk dijadikan kebanggaan dan juga mengejar populariti.
“Tugas berat yang dihadapi oleh kita ialah kini bagaimana untuk mengisi kemenangan dan menyakinkan bahawa undi mahasiswa kepada Pro-Mahasiswa kali ini adalah berbaloi” ujar Norazali lagi.
Seorang lagi tokoh mahasiswa, Hafizuddin Razak yang juga Pengerusi Solidari Mahasiswa Malaysia (SMM), beliau mengkritik beberapa universiti yang memonopoli pentadbiran kempimpinan mahasiswa.
Kataya lagi, adanya unsur-unsur menopoli dari pentadbiran untuk mengawal kabinet pelajar dimana ada calon Pro Mahasiswa tidak dilantik.
“Kita masih melihat adanya unsur-unsur manopoli dari pihak pentadbiran. Seperti di kabinet UPSI, calon pro mahasiswa turut memenangi dengan jumlah yang besar walaubagaimanun yang dilantik semuanya dikalangan aspirasi,” menurutnya.
Beliau menambah, perubahan kali ini juga dilihat sebagai keberanian para mahasiswa untuk memilih calon-calon luar dari aspirasi serta mereka turut mengikuti perkembangan arus.
“Kita jangkakan ada perubahan yang besar pada pilihanraya kampus kali ini dimana para mahasiswa telah berani memilih calon-calon dari Pro Mahasiswa,” katanya lagi. ~ Suara Keadilan
No comments:
Post a Comment