28 October 2008

Minyak patut RM1.60 - Pakar

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN dan SAIFUL AFFENDY SARPAN
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Kerajaan wajar menurunkan harga petrol kepada RM1.60 seliter memandangkan harga pasaran minyak mentah dunia merudum sehingga ke paras AS$60 (RM210) setong.

Pengerusi Pusat Pengajian Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Nor Ghani Md. Nor berkata, harga itu berdasarkan perbandingan ketika harga petrol dijual RM1.92 seliter dalam keadaan harga pasaran dunia sekitar AS$70 setong.

Bagaimanapun katanya, harga minyak dunia dijangka berlegar sekitar paras AS$90 setong beberapa bulan akan datang ekoran Pertubuhan Negara Pengeluar Minyak (OPEC) mengurangkan pengeluaran.

"Saya jangkakan harga minyak boleh diturunkan di bawah RM2 iaitu antara RM1.60 hingga RM2 dengan melihat keadaan ekonomi negara ketika ini.

"Jika harga minyak turun, pengguna akan berbelanja lebih, tetapi harga barangan mungkin tak turun sebab pesaing kurang.

"Contohnya pembekal makanan ayam hanya ada beberapa sahaja di negara ini," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang trend penurunan harga minyak dunia ketika ini yang merudum dan dikatakan akan mencecah sehingga ke paras AS$60 setong.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman pula berkata, harga petrol boleh diturunkan kepada RM2.15 seliter tetapi tidak di bawah RM2.

Ini kerana katanya, walaupun harga minyak dunia mengalami penurunan sehingga paras AS$60 setong, ia juga akan memberi impak kepada pendapatan negara. ~ KedahLanie

No comments:

Post a Comment