08 October 2008

Pesta menyamun empat lelaki berparang ~ Kosmo

PETALING JAYA - Dalam tempoh satu jam, empat lelaki masing-masing berparang seakan-akan 'berpesta' apabila mereka dapat mengumpul sebanyak RM31,200 selepas menyamun lima buah restoran, sebuah hotel bajet dan seorang pemandu kereta di sini kelmarin.

Dalam kejadian tersebut, seorang ejen menjual rumah bukan sahaja cedera di kepala dan kedua-dua belah lengan akibat dilibas parang malah putus satu jari tangan kiri akibat ditetak penjenayah tidak berhati perut itu.

Jari sama di tangan kanan pula hampir putus dan difahamkan mangsa Phang Pao Chun, 31, telah menjalani pembedahan di Hospital Assunta di sini pukul 4 petang semalam untuk menyambung semula jarinya.

Semasa disamun, Pao Chun singgah bersarapan di sebuah restoran makanan segera di Jalan SS2/68 di sini pada kira- kira pukul 5.30 pagi.

Dia turut kehilangan komputer riba dan barang-barang berharga akibat disamun di dalam restoran tersebut.

Beliau ketika ditemui berkata, pada hari tersebut dia keluar rumah seawal pukul 5 pagi kerana mahu cepat sampai ke pejabat bagi menyiapkan kerjanya yang tertangguh ekoran cuti Aidilfitri.

"Saya singgah di restoran itu dan ketika sedang bersarapan, dua lelaki mendekati saya dan memberitahu mereka mahu mengambil komputer riba selepas mengacukan parang.

"Pada masa sama, saya ingin mengambil thumb drive yang ada pada komputer itu dan mereka ingat saya mahu merampas komputer itu,'' katanya.

Ekoran salah faham itu, cerita Pao Chun, salah seorang daripada lelaki itu terus menetak tangannya sehingga menyebabkan jari hantu tangannya putus.

Sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Waja berwarna coklat sambil membawa komputer ribanya, dua suspek itu turut menyamun kaunter restoran tersebut dan memperoleh habuan RM6,100.

Selain kes samun menimpa Pao Chun, jurucakap polis berkata, kejadian pertama dipercayai membabitkan suspek sama berlaku pukul 5 pagi di sebuah restoran di Jalan PJU 1/3G, Sunway Mas, Kelana Jaya di sini.

Menurut beliau, empat lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Waja berwarna coklat dan tidak memakai topeng, tetapi masing-masing berparang telah menyerang restoran berkenaan dan melarikan wang tunai RM6,100.

Katanya, tidak berapa lama selepas itu, suspek-suspek itu pula sebuah lagi restoran yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi pertama di Taman Suria, Kelana Jaya dan melarikan RM3,500.

Beliau memberitahu, tidak cukup dengan hasil samun tersebut, penyamun itu telah memasuki pula sebuah hotel bajet di Kota Damansara untuk menyamun dan melarikan wang hasil perniagaan sebanyak RM2,500.

Jurucakap cakap polis memberitahu, suspek-suspek tersebut kemudiannya menyamun sebuah lagi restoran di kawasan sama dan melarikan RM6,500.

"Mereka yang seakan dirasuk itu kemudiannya menyerang sebuah lagi restoran di Damansara Perdana dan melarikan RM5,000.

"Di situ, beberapa pekerja restoran cedera akibat ditetak penyamun tersebut selepas enggan menurut arahan,'' katanya.

Ujar beliau, bagi melengkapkan 'pesta' samun itu, suspek telah menyamun seorang pemandu kereta Perodua Kelisa di kawasan berhampiran dengan melanggar belakang kereta mangsa sebelum melarikan wang tunai RM1,000.

Berikutan tujuh kes tersebut ujarnya, polis kini menyiasat kewujudan kumpulan samun tersebut yang dikatakan baru muncul untuk melakukan jenayah.

* Mana polis?

No comments:

Post a Comment