KUANTAN - Ketika para selebriti tanah air yang lain sibuk memenuhi undangan Hari Raya Aidilfitri di merata tempat, pelawak Mohd. Nor Rollah Ismail, 50, atau lebih dikenali sebagai Pak Tam pula giat mencari rezeki dengan menjual daging di Pasar Besar Kuantan, di sini. Pak Tam yang kebetulan ditemui wartawan Kosmo! di pasar berkenaan semalam memberitahu, walaupun telah bergelar seorang selebriti atau pelawak tanah air, namun dia tidak pernah mengabaikan perniagaan yang telah diceburinya sejak sekian lama.
Menurutnya, walaupun perlu memenuhi beberapa undangan membuat persembahan lawak terutama sebelum ketibaan Syawal tetapi Pak Tam tidak pernah melupakan perniagaan dagingnya, malah perniagaan itu dianggap punca rezeki utama buat diri dan keluarga.
"Walaupun bergelar pelawak, namun menjual daging adalah sumber rezeki saya selama ini. Saya tidak pernah dan tidak akan segan untuk terus melakukannya.
"Saya ada juga dijemput membuat persembahan di beberapa tempat tetapi menjual daging tetap diteruskan demi mencari rezeki yang halal untuk meneruskan kehidupan," katanya.
Pak Tam merupakan salah seorang daripada peserta rancangan Raja Lawak Astro musim kedua yang disiarkan pada setiap minggu di saluran Astro Prima (Saluran 105 Astro) bermula awal tahun ini.
Dalam rancangan itu, seramai enam peserta solo iaitu Azil, Deven, Husen, Nabil, Pak Tam dan Shah dan empat peserta berkumpulan iaitu Awas, Cham, Ketampi dan XN3 bertanding merebut gelaran sebagai Raja Lawak Astro dan dalam pertandingan itu, ia dimenangi Ahmad Nabil Ahmad, 25.
Kata Pak Tam lagi, dia tidak pernah berasa malu atau segan untuk meneruskan perniagaan dagingnya walaupun telah menceburi bidang hiburan selain digelar sebagai pelawak kerana perniagaan itu adalah sumber rezeki yang halal.
No comments:
Post a Comment