KUALA LUMPUR: Bermodalkan pemutar skru sebagai senjata, empat penyamun mampu mengaut ratusan ringgit sehari hanya dengan mengugut mencederakan mangsa sebelum melarikan wang dan barang berharga.
Kumpulan penyamun dipercayai dari Sabah itu aktif mencari ‘rezeki’ dengan mengugut warga asing yang bekerja di negara ini.
Taktik yang digunakan kumpulan ini cukup mudah apabila mereka hanya memerhatikan gerak-geri individu yang mengeluarkan wang daripada bank sebelum mengekori mangsa.
Sejurus tiba di lokasi yang agak sunyi, kumpulan penyamun terbabit mengepung dan menahan mangsa sebelum seorang daripada mereka mengacukan pemutar skru ke perut dan meminta mangsa mengeluarkan wang.
Malah, dalam beberapa kejadian sebelum ini, mereka bertindak berani apabila dengan selamba menyamun mangsa di lokasi terbuka dan melarikan diri.
Penyamun terbabit sangat profesional kerana mengambil masa singkat dan pernah dalam masa sehari mereka menjadikan tiga lelaki sebagai mangsa samun.
Jika hasil samun yang diperoleh di siang hari tidak selumayan yang disasarkan, kumpulan penyamun terbabit sanggup bekerja ‘syif malam’ untuk mencari mangsa sebagai sasaran mereka.
Namun, selepas bermaharajalela hampir dua bulan melakukan samun, seorang daripada ahli kumpulan terbabit ditahan polis apabila dia tidak sempat melarikan diri ketika cuba menjadikan seorang lelaki warganegara Nepal sebagai mangsa di Jalan Petaling di sini, Jumaat lalu.
Menurut sumber, lelaki terbabit bersama tiga rakannya tidak menyedari gerak-geri mereka ketika cuba menyamun seorang mangsa diperhatikan anggota polis berpakaian preman yang berada di lokasi berhampiran.
“Selepas menyedari kehadiran anggota polis, semua empat penjenayah lari lintang-pukang untuk menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi seorang daripada suspek apabila dia dikepung anggota polis yang mengejarnya. Suspek yang kepenatan akhirnya berhenti dan menyerah diri,” katanya.
Katanya, sebelum kejadian, empat penjenayah terbabit berlegar-legar di kawasan sekitar Jalan Petaling untuk mencari mangsa dan akhirnya menjadikan seorang lelaki warga Nepal sebagai sasaran.
Mangsa yang berjalan seorang diri dikepung keempat-empat penjenayah terbabit ketika berhenti di sebuah perhentian bas berhampiran sebuah bank.
Seorang daripada ahli kumpulan terbabit mengacukan muncung pemutar skru yang tajam ke arah perut mangsa menyebabkan lelaki Nepal yang terkejut hanya mampu berdiam diri.
Lebih mengejutkan apabila kegiatan itu dilakukan kumpulan penjenayah terdesak terbabit di hadapan ratusan warga kota lain yang sedang menunggu bas di perhentian berkenaan.
“Bagaimanapun, kehadiran anggota polis yang mengecam wajah keempat-empat penjenayah itu berjaya mematahkan cubaan menyamun warga asing itu,” katanya.
Kumpulan penjenayah terbabit dipercayai mempunyai hubungan dengan beberapa lagi geng samseng di kawasan terbabit untuk melakukan kegiatan jenayah.
Hasil kegiatan samun dijalankan kumpulan terbabit dipercayai memperoleh pendapatan antara RM400 hingga RM600 sehari.
* Penjenayah ini wajar dihukum dengan hukuman yang berat
No comments:
Post a Comment