BALING: “Saya tidak tahan lagi tinggal di sini dan bawalah saya pulang kerana begitu merindui keluarga,” kata Nur Liana Abd Rahim, 18, ketika menghubungi ibunya melalui telefon bimbit kira-kira sebulan lalu.
Ia perbualan terakhir gadis itu dengan keluarganya selepas mendakwa lari mengikut seorang lelaki warga Indonesia ketika berusia 16 tahun, kira-kira dua tahun lalu.
Nur Liana dikatakan sempat menghubungi keluarganya di Kampung Charok Bunting, Mukim Siong, di sini, selepas hidup menderita apabila terpaksa menjadi buruh dengan menanam sayur sejak berada di negara jiran itu.
Ketika menghubungi keluarganya, dia merayu agar membantu membawanya pulang ke negara ini bersama bayinya berusia 11 bulan selepas lebih dua tahun berada di Lombok, Timur Indonesia.
Nur Liana berkata, kehidupannya begitu susah hingga tiada wang untuk membeli susu anaknya kerana pendapatannya sebagai buruh penanam sayur amat kecil.
Dia yang menghubungi keluarganya enam kali bulan lalu sejak menghilangkan diri kerap mengulangi perkara sama dan tidak henti-henti merayu supaya keluarga membantunya untuk pulang ke kampung halaman.
Penderitaan dialami Nur Liana diceritakan bapanya, Abd Rahim Ahmad, 49, kepada wakil Harian Metro yang mengunjungi keluarga itu, semalam.
Nur Liana didakwa lari mengikut seorang buruh warga Indonesia kira-kira jam 9 pagi pada Mac 2006 ketika keluarganya keluar ke kebun, dan pelbagai usaha mencari gadis itu sudah dilakukan, tetapi gagal.
Kehilangan Nur Liana dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling sehari selepas dia tidak pulang ke rumah.
Nur Liana, anak keempat daripada sembilan beradik, disifatkan keluarga sebagai gadis yang baik dan jarang keluar rumah sebelum lari ke Lombok.
Sejak kehilangan Nur Liana, keluarga berkenaan sentiasa dikunjungi pihak tertentu meminta wang mendakwa akan membantu mencari tetapi sebenarnya mereka menipu semata-mata untuk mendapatkan wang.
Abd Rahim berkata, fikirannya kini buntu kerana tidak ada jalan lain selain meminta terpaksa meminta bantuan daripada pihak yang berkenaan untuk membantu membawa anaknya pulang.
“Dengan keadaan hidup yang miskin, saya memang tidak mampu untuk pergi ke sana (Lombok) untuk mencari anak (Nur Liana) dan terpaksa berharap masih ada pihak sudi untuk membantu,” katanya.
Ibunya, Saadiah Mustafa, 44, berkata keluarganya tidak mampu ke Lombok menjemput Nur Liana dan berharap pihak berkaitan terutama Biro Pengaduan Antarabangsa Pergerakan Pemuda Umno dapat membantu anaknya untuk pulang ke negara ini.
“Kami amat merinduinya dan berharap ada pihak sudi membantu dengan membawanya pulang dengan selamat bersama bayinya itu,” katanya.
* Susah, baru ingat mak bapak
No comments:
Post a Comment