KUALA LUMPUR: “Saya berdiam diri bukan kerana mahu menghukum, tapi apa gunanya jika pulang ke rumah hanya untuk bergaduh,” kata aktor popular, Mohamed Nurhakim Zaidon, 32, atau Norman Hakim mengenai rumah tangganya yang didakwa sedang bergolak.
Penjelasan diberikan Norman selepas desas-desus mengatakan pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem Pasrah itu tidak pulang ke rumah sejak Ramadan lalu.
Ketika ditemui pada majlis cukur jambul anak ketiganya, Maria Danisha Hakim, satu bulan di sini, kelmarin Norman berkata, pada 1 Syawal lalu, dia pulang untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarganya.
“Pada hari raya kedua pula saya harus berkejar ke Melaka kerana menjalani penggambaran drama Batu Belah, dan selepas itu ada beberapa lagi projek yang harus diselesaikan di luar daerah menyebabkan saya tidak berkesempatan untuk pulang,” katanya
Norman turut memberi penjelasan mengenai gosip panas yang mengaitkan dirinya kononnya bernikah dengan seorang wanita di wilayah selatan Thailand.
“Isu saya bernikah lain tidak seharusnya ditimbulkan jika tiada pihak dapat memberikan bukti. Kalau benar mereka ada salinan surat pernikahan saya, kenapa tidak tunjukkan kepada saya sekarang,” tegas pelakon kacak itu.
Pelakon yang turut popular menerusi drama bersiri Gerak Khas itu berkata, dia berasa tertekan apabila masalah dihadapi dengan isterinya yang juga pelakon terkenal Arbaieyah Abdul Manan, 30, atau Abby Abadi menjadi perhatian media.
“Beginilah... apa yang boleh saya katakan, dalam kehidupan berumah tangga pasti ada pasang surutnya. Ibarat kata pepatah sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Namun, ia tidak bermakna masalah yang kami hadapi tidak boleh diselamatkan lagi.
“Sebagai suami, tidak seharusnya hal rumah tangga diceritakan kepada orang luar. Selagi saya boleh tangani, saya akan berusaha memperbaikinya.
“Saya tahu sebagai artis, ini antara harga yang harus saya bayar tapi ia ada hadnya. Apa pandangan keluarga dan ipar duai apabila cerita yang bukan-bukan mengenai diri saya digembar-gemburkan di dada akhbar. Bukankah ia kurang manis?” katanya lagi.
Pada waktu sama, Norman menegaskan dia akan memastikan masalah dihadapi diselesaikan dalam waktu terdekat dan tidak akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan sehingga bercerai pada 5 Mei 2006 dan rujuk kembali seminggu selepas itu.
“Saya tidak akan sia-siakan rumah tangga kami dan itu janji saya. Cukuplah dengan apa yang pernah kami alami sebelum ini dan saya tidak mahu ia berulang. Saya tidak pernah meminggirkan keluarga, apatah lagi tiga anak saya sedang membesar memerlukan perhatian penuh daripada ibu bapa,” katanya.
Sementara itu, Abby memberitahu, sebagai isteri dia berasakan dirinya seperti tidak diperlukan lagi kerana sudah lama dibiarkan.
“Saya tidak boleh bertahan apabila berada dalam keadaan seperti ini. Segalanya harus saya lakukan sendiri termasuk menguruskan keperluan keluarga.
“Mungkin semua yang berlaku ini kerana kesilapan saya. Kalau itulah sebabnya, saya mengaku dan terima. Kelemahan saya mungkin sebagai manusia biasa saya tidak boleh menjadi yang terbaik untuk dia (Norman),” katanya.
Kata Abby lagi, tindakan suaminya berdiam diri sehingga sanggup meninggalkannya sendirian tidak akan dapat menyelesaikan masalah dihadapi.
“Pada saya apa yang dilakukannya satu kesilapan kerana saya dapat rasakan kami sudah semakin jauh dan menjadi seperti orang asing. Sepatutnya masalah yang berlaku diselesaikan secepat mungkin kerana apabila dibiarkan ia akan menjadi bertambah buruk,” katanya.
Apabila ditanya adakah pergolakan berlaku disebabkan dakwaan Norman menjalinkan hubungan dengan wanita lain termasuk pelakon baru, Suhaiza Suhaimi atau Memey dan gambar suaminya bersama wanita lain tersebar di Internet, Abby berkata:
“Saya sendiri keliru kerana terlalu banyak sangat perkara mengenainya diperkatakan, namun tiada satu pun bukti kukuh diperoleh.” ~ Hmetro
* Biasalah artis kahwin ni, bagaimana pula Mawi akan datang
No comments:
Post a Comment